KUALA LUMPUR: Kejujuran dan tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam memastikan institusi wakaf terus diyakini serta mampu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan berkesan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, umat Islam perlu bersikap jujur dalam menilai realiti semasa yang dihadapi institusi wakaf serta mengambil langkah konkrit bagi memelihara kewibawaan institusi tersebut.
Titah baginda, masih terlalu banyak harta wakaf yang terbiar tanpa dimanfaatkan, termasuk tanah yang tidak diusahakan, rekod yang tidak lengkap, hak milik yang boleh dipertikaikan serta aset yang gagal direalisasikan potensinya.
“Di sesetengah tempat, wakaf yang ditinggalkan oleh orang-orang yang beriman telah hilang disebabkan pengabaian atau salah urus yang merugikan serta memalukan mereka yang mula-mula mengasaskannya.
“Apabila sesuatu wakaf ditadbir dengan buruk, barakah bukannya bertambah sebaliknya berkurang, dan amanah penderma telah dikhianati secara senyap.
“Tidak cukuplah untuk kita sekadar meromantiskan wakaf sebagai kegemilangan masa lalu kita sedangkan kita membiarkannya mereput pada masa kini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) 2026 bertemakan Perkukuh Agenda Kesejahteraan Ummah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa tadbir urus yang baik bukan sekadar memenuhi tuntutan birokrasi, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipikul dengan penuh integriti.
Titah baginda, seseorang pentadbir bukanlah pemilik harta wakaf, sebaliknya pemegang amanah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan golongan miskin serta generasi akan datang yang belum mempunyai suara di meja perbincangan.
“Menyimpan rekod dengan jelas, memperhitungkan setiap ringgit secara jujur, melabur dengan bijak dan mengawal daripada kerugian, ini bukanlah pencerobohan sekular ke atas institusi yang suci. Ia adalah teras kepada ketaatan kepadanya.
“Lejar yang diselenggara dengan baik demi perkhidmatan wakaf adalah satu bentuk ibadah,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa pentadbir dan pemegang amanah institusi wakaf tidak akan terlepas daripada pembalasan Allah sekiranya mengkhianati amanah atau bertindak secara tidak bertanggungjawab.
“Mata juruaudit mungkin terlepas pandang kesilapan di dunia ini, namun pandangan Allah subhanahu wa ta‘ala tidak sesekali terlepas,” titah baginda. – UTUSAN










