Empat langkah perkasa institusi wakaf

Empat langkah perkasa institusi wakaf

SULTAN Nazrin Shah (tengah) berkenan memukul gong simbolik perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengemukakan empat langkah strategik bagi memperkasa institusi wakaf negara agar lebih berdaya saing, progresif dan mampu memenuhi keperluan ummah dalam era moden.

Cadangan pertama ialah penubuhan kumpulan kerja rundingan antarabangsa untuk mengintegrasikan Prinsip Teras Wakaf Indonesia, piawaian AAOIFI serta kerangka Kazakhstan ke dalam satu set prinsip teras bersama.

Baginda bertitah, prinsip bersama itu boleh diterima pakai secara sukarela oleh mana-mana institusi wakaf dan bidang kuasa tanpa menjejaskan kuasa Perlembagaan mana-mana negeri atau negara.

“Kedua, mempercepatkan penyerapan platform wakaf tunai digital menerusi papan pemuka awam real-time yang telus bagi membolehkan penderma menjejaki sumbangan mereka secara langsung.

“Ketiga, melancarkan projek rintis Wakaf untuk Keamanan dan Ketahanan Planet (Waqf for Peace and Planetary Resilience) di kelompok masjid dan pusat komuniti di ASEAN bagi membiayai tenaga solar serta infrastruktur air mesra iklim.

“Keempat, memastikan piagam institusi wakaf mendaftarkan prinsip keseimbangan, keadilan dan kerahiman daripada kerangka Al-Mizan sebagai kriteria tata kelola yang mengikat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) 2026 bertemakan Perkukuh Agenda Kesejahteraan Ummah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, antara pendekatan inovatif yang boleh dicontoh adalah model mikrowakaf yang dipelopori yang membolehkan individu membuat sumbangan digital secara kecil-kecilan dan berkala sebelum dihimpunkan menjadi dana wakaf berskala besar.

Titah Sultan Nazrin, pentadbir institusi wakaf perlu berfikiran inovatif, berani meneroka kaedah baharu serta menterjemahkan idea kepada tindakan, di samping sentiasa berpandangan jauh dalam merancang masa depan institusi berkenaan.

“Harapan saya untuk konvensyen ini adalah sesuatu yang bersifat praktikal, supaya kita bersurai bukan sahaja dengan rasa terinspirasi tetapi juga dengan Tekad.

“Tekad untuk memodenkan tadbir urus wakaf kita, membawa kecekapan profesional dan integriti dalam pengurusannya, memanfaatkan instrumen baharu dalam perkhidmatannya, dan mengembalikan wakaf ke tempat yang hakiki di teras ummah yang berdikari dan bermartabat,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN