Ketech Asia mahu jadi pengilang peluru pertama buatan Malaysia

Ketech Asia mahu jadi pengilang peluru pertama buatan Malaysia

REPLIKA peluru yang dihasilkan oleh Ketech Asia Sdn. Bhd. sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia) mensasar untuk menjadi pengilang peluru pertama buatan Malaysia untuk kerajaan dalam menghasilkan peluru bagi agensi pertahanan dalam negara.

Pengurus Besar Ketech Asia, Rahayu Bahaudin berkata, Ketech Asia mampu menghasilkan peluru yang menjadi permintaan tertinggi dalam agensi pertahanan Malaysia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sasaran kita adalah untuk membekalkan peluru kepada kerajaan Malaysia. Sekiranya mampu mendapatkan kontrak pusat kita akan membekalkan kepada PDRM, ATM dan agensi lain.

“Apabila kita mempunyai kilang di Malaysia, kita dapat menjimatkan masa berbanding mengimport bekalan ke dalam negara yang mana ia boleh mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan hampir 20 peratus untuk sektor pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024

Selain itu, Rahayu berkata, kilang bertempat di Kuala Lipis yang dijangka siap pada Oktober ini mampu menghasilkan 60 juta laras peluru dalam masa setahun.

“Penghasilan itu melibatkan peluru jenis 5.56mm dan 9mm yang merupakan permintaan tertinggi dalam agensi pertahanan Malaysia dengan jumlah pelaburan lebih daripada RM100 juta. Pada tahun lepas bagi peluru 9mm, PDRM membeli 10 juta unit manakala ATM antara 10 hingga 20 juta unit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketech Asia juga mendapat permintaan dari negara luar namun fokus untuk membekalkan kepada Malaysia sebelum dieksport ke negara lain.

“Kita juga mendapat permintaan dari Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Timor Leste dan juga beberapa negara Asia lain. Selepas kita memberi fokus untuk membekalkan peluru kepada Malaysia, kita akan beralih kepada permintaan luar negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN