SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak meminggirkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang di negeri ini iaitu Labu, Gemas, Serting, Bagan Pinang dan Paroi dalam agihan peruntukan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan tersebut telah dilulus dan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, pada tahun lepas, DUN Paroi menerima peruntukan paling tinggi di antara kelima-lima DUN berkenaan iaitu sebanyak RM12.07 juta bagi pelaksanaan sejumlah 19 buah projek.
“Kita tidak meminggirkan kawasan-kawasan DUN pembangkang dalam agihan peruntukan selaras dengan prinsip ihsan dalam Kerajaan Madani. Bagaimanapun penyaluran peruntukan diagihkan dalam bentuk projek-projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai contoh pada tahun 2023 sebanyak RM34.49 juta merangkumi 119 projek diluluskan di lima buah DUN pembangkang,” katanya sewaktu penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja bagi Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.
Menteri Besar menambah, bagi tahun ini sebanyak 91 projek telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM16.46 juta di kelima-lima buah DUN berkenaan.
Beliau menambah, selain itu, semua lima DUN berkenaan turut diagihkan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM5.15 juta pada tahun lalu dan sebanyak RM5.4 juta tahun ini.
Aminuddin sementara itu berkata, kerajaan negeri akan menimbang untuk melakukan semakan dan kajian semula gaji ADUN-ADUN di negeri ini.
Kata beliau, ia selaras dengan kenaikan gaji penjawat awam yang telah diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
“Kami akan buat kajian tersebut, kerajaan negeri akan menimbang semakan dan kajian semula gaji ini untuk mengambil kira pelarasan dan perbandingan di antara DUN-DUN lain dan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu juga, persidangan DUN hari ini turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Pelesenan Penternakan Unggas dan Aktiviti Berkaitan Penternakan Unggas (Pindaan) 2024 serta RUU Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (Pindaan) 2024.
Menteri Besar berkata, pindaan berkenaan bertujuan menjadikan isi kandungannya lebih jelas, tadbir urus lebih efisien dan penguatkuasaan akan lebih menyeluruh.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd. Rahman kemudian menangguhkan persidangan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.-UTUSAN.











