PETALING JAYA: Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang dilantik menganggotai setiap kementerian dan jabatan adalah golongan profesional yang bertujuan memastikan dasar negara dijalankan dengan baik.
Sehubungan itu, mereka yang dilantik untuk menjadi PTD akan diberikan latihan selama setahun bagi menggubal dasar-dasar negara.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, PTD adalah satu jawatan profesional yang diwujudkan dalam mentadbir sesuatu jabatan bagi memudahkan cara dan mengurangkan birokrasi.
Menurut beliau, mereka yang dilantik untuk menjadi PTD adalah golongan pakar bagi setiap bidang kelulusan dan diberi latihan-latihan khusus supaya mampu menyelesaikan isu-isu semasa.
“Kita tidak boleh menganggap skim perkhidmatan di kemeterian diboloti oleh PTD kerana mereka mempunyai pengalaman dari segi kapasiti, keupayaan dan karakter dalam pengisian jabatan tersebut.
“Sebagai contoh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zaini Ujang adalah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kelima dari 2008 hingga 2013,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu ruangan Forum akhbar ini melaporkan, isu penguasaan PTD di hampir semua kementerian mewujudkan perasaan tidak menyenangkan dalam kalangan penjawat awam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, untuk menjadi PTD bukan sesuatu yang mudah dan mereka akan dilatih bagi ketahanan fizikal dan mental.
Beliau berkata, pihak kami memahami ia akan sedikit menimbulkan ketidaksenangan kepada sesetengah penjawat awam.
“PTD adalah bukan satu jawatan sebarangan malah sebelum mereka berkhidmat mereka akan diberikan latihan selama setahun.
“Tugas PTD adalah untuk menggubal dasar. Jika melantik seseorang yang tidak memahami dasar pentadbiran ia akan memberikan masalah kepada negara,” katanya. – UTUSAN










