PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) kini dalam ‘misi 4-0’ untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.
PN sudah menguasai kerusi Parlimen Hulu Selangor serta DUN Hulu Bernam dan Batang Kali, justeru kali ini gabungan parti itu menaruh keyakinan untuk menang di kubu kuat DAP selama tiga penggal itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya mempunyai peluang untuk mengalahkan PH setelah melihat sentimen bukan sahaja dalam kalangan pengundi Kuala Kubu Bharu, malah rakyat yang menilai prestasi kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yakin pengundi akan melahirkan kekecewaan di kertas undi dalam PRK itu dengan menolak calon PH, sebaliknya memilih calon PN.
“Untuk kali ini buat pertama kalinya calon DAP kalah dalam pilihan raya dan kalau benarlah ia berlaku, maknanya landskap politik dalam negara ini akan menjadi sesuatu yang berbeza dari dahulu.
“Ia (PRK Kuala Kubu Bharu) memberikan gambaran pengundi sudah lebih matang. Pengundi tidak kira bangsa melihat kepentingan bukan hanya satu bangsa tapi nak melihat bahawa wakil mereka adalah wakil yang berani, yang sanggup turun ke bawah dan memperjuangkan nasib, tidak kira daripada mana parti dan bangsa,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos tahun lalu, DAP menang di semua 15 kerusi DUN ditandinginya termasuk Kuala Kubu Bharu walaupun berdepan ‘gelombang hijau’ yang didominasi PN.
Berbekalkan rekod itu, DAP yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut walaupun 48 peratus daripada 40,015 pengundi kaum Melayu manakala Cina mewakili 34 peratus dan India (18 peratus) serta lain-lain (lima peratus).
PRESTASI
Justeru, Hamzah selaku Ketua Pembangkang menegaskan, prestasi kerajaan menjadi penentu PRK tersebut apabila suara pengundi menjadi mesej kepada parti pemerintah.
“Walaupun ada kuasa macam mana sekalipun, kita nak maklumkan bahawa sebenarnya kami tak setuju dengan apa yang dilakukan,” jelas beliau.
Ditanya adakah PN mahu mengetengahkan calon Melayu, Ahli Parlimen Larut itu menjelaskan peratusan pengundi Melayu mencecah 48 peratus di samping kaum lain 52 peratus harus diambil kira sebelum memutuskan bakal calon.
Namun kata beliau, secara keseluruhannya rakyat yang bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa lain turut merasakan tertekan dan dihimpit dengan kos sara hidup.
“Soal sama ada Melayu atau tidak itu soal lain. Soalnya sama ada rakyat hari ini hidup dalam keadaan selesa ataupun tidak. Itu yang lebih mustahak sebab negara ini memerlukan semua, bukan hanya satu bangsa. Semua bangsa yang ada.
“Kalau seseorang pemimpin yang telah pun diberi mandat memimpin, dia harus melihat bagaimana untuk memberikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta selesa.
“Tidak ada masalah-masalah yang boleh menimbulkan rasa kecewanya, rasa terhimpit, rasa tertekannya,” katanya.
Penyandang kerusi Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang meninggal dunia 21 Mac lalu akibat kanser menang di kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi ke atas calon PN dari Gerakan, Teoh Kien Hong pada PRN negeri Ogos tahun lalu. – UTUSAN










