SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor mendakwa DAP menyambut baik cadangan pimpinan PKR negeri ini supaya meletakkan calon Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Mei ini.
Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah berkata, bagaimanapun pandangan tersebut bukanlah satu keputusan sebaliknya terpulang kepada pimpinan DAP untuk memutuskan calon yang bakal bertanding.
“Memang kita ada berikan pandangan dan melihat reaksi positif daripada rakan komponen, tetapi ia bukan muktamad, itu terpulang kepada DAP. Yang penting, kita hendak menang dan perlu mempunyai strategi yang baik.
“Walau siapa pun nama yang hendak dicalonkan, saya sebagai anggota PKR dan jentera akan bersedia menyokong untuk memastikan PH berjaya mempertahankan kerusi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April dan 7 Mei, manakala hari pengundian pada 11 Mei.
Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya. Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, yang menguasai kerusi di bawah Parlimen Hulu Selangor itu sejak 2013 meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung nyawa melawan kanser.
Dalam pada itu, Borhan yang juga Exco Kerajaan Negeri turut menegaskan, PKR Selangor tidak mencampuri urusan pemilihan calon yang akan diputuskan DAP kerana penentuannya untuk PRK di kawasan berkenaan adalah hak parti tersebut.
“Itu hak mutlak DAP untuk pilih. Memang kalau diikutkan Kuala Kubu Bharu mempunyai 51 peratus pengundi Melayu, tetapi berdasarkan tinjauan yang kami lakukan baru-baru ini, penduduk di sana sangat terkesan dengan kepimpinan mendiang Kee Hiong.
“Faktor itu dilihat lebih besar dalam menentukan calon untuk bertanding dalam pilihan raya nanti. Soal kaum itu akan jadi bonus kepada DAP jika berjaya menguasai pengundi Melayu,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang juga Exco Kerajaan Negeri, Jamaliah Jamaludin ketika dihubungi memaklumkan, belum ada senarai calon yang akan dipertimbangkan untuk bertanding dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu. – UTUSAN










