PUTRAJAYA: Mana-mana kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memberikan kerjasama untuk memantau sekali gus mengambil tindakan terhadap kilang-kilang yang beroperasi secara haram sehingga mengundang pencemaran alam sekitar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya berperanan memantau dan mengesan kes-kes pencemaran alam sekitar dan mengambil tindakan terhadap penjenayah alam sekitar.
Menurut beliau, JAS menguatkuasakan di bawah fasal pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling dengan meningkatkan penalti, denda dan hukuman penjara untuk jenayah-jenayah alam sekitar.
“Namun, kewujudan premis-premis (sama ada berlesen atau tidak) pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kena memainkan peranan sebab kita (JAS) tidak ada kuasa.
“Kita boleh kesan pencemaran dan kita ambil tindakan tapi dari segi pengoperasian kilang dan sebagainya, kita harapkan peranan dimainkan oleh kerajaan negeri dan PBT,” katanya di sini baru-baru ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan sekurang-kurangnya tiga buah kilang pemprosesan tayar terpakai didapati beroperasi secara mencurigakan tanpa mengikut prosedur pengoperasian dan peraturan betul dikesan di sekitar Kulai, Johor.
PENCEMARAN
Kewujudan kilang-kilang terbabit dikhuatiri boleh mengundang satu lagi pencemaran alam sekitar di negeri berkenaan selepas berlaku isu pencemaran sungai Kim-Kim di kawasan Pasir Gudang sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 buah sekolah di daerah itu ditutup ekoran pembuangan sisa toksik.
Berdasarkan siasatan Utusan Malaysia kira-kira tiga bulan lalu ke atas ketiga-tiga kilang itu, ia didapati beroperasi secara bersembunyi bagi mengaburi mata pihak berkuasa apabila kawasan kilang tanpa nama ini bertutup dan berkunci dikelilingi zink, jika dilihat dari luar.
Pengoperasian kilang tayar terpakai itu juga adalah satu daripada bahan buangan berisiko kerana mengandungi toksik jika tidak dikendalikan dengan betul. Tindakan penyimpanan, pembuangan, pembakaran tayar yang tidak terurus boleh menyumbang kepada pencemaran selain pembiakan nyamuk aedes.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, banyak langkah penguatkuasaan pihaknya dibuat secara menyeluruh dengan membabitkan pelbagai agensi bagi menangani kes-kes pencemaran alam sekitar.
“Kita babitkan agensi-agensi lain bukan secara silo, bukan JAS semata-mata, tetapi tanpa peranan proaktif daripada kerajaan negeri, kita tak dapat atasi masalah tersebut,” katanya. – UTUSAN










