Tukar nama makanan kepada bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Tukar nama makanan kepada bahasa Melayu

AHMAD FEDTRI Yahya (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Dr. Zaharudin Othman (tiga dari kiri) selepas Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial di Seremban, semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Para peniaga kecil dan penjaja di negara ini disaran menggunakan platform bulan Ramadan yang menjelang tiba untuk mempromosi dan mengangkat martabat bahasa Melayu.

Pengacara, personaliti televisyen dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya berkata, antara usaha itu adalah dengan menjenamakan semula makanan atau produk yang dijual kepada bahasa Melayu.

Ini terutamanya, kata beliau, makanan yang menggunakan kata dasar bahasa asing yang dianggap mempunyai nilai komersial menarik perhatian pengguna.

“Kita patut mengambil kesempatan untuk mempromosikan keindahan bahasa Melayu yang setanding untuk memikat minat orang ramai.

“Banyak nama cantik boleh diguna pakai seperti banana splits yang boleh ditukar kepada pisang sejoli,” katanya ketika ditemui selepas Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial anjuran Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. (RHSM) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini semalam.

Ahmad Fedtri menjadi ahli panel dalam forum tersebut bersama Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Roziah Md. Yunus.

Yang turut hadir, Pengerusi RHSM, Dr. Zaharudin Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif RHSM, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Sahabudin.

Beliau dalam pada itu menarik perhatian, peniaga kecil dan penjaja adalah pihak yang perlu bersama-sama dengan semua segmen masyarakat memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini.

“Walaupun dianggap kecil, kita semua sebenarnya mempunyai peranan dan tanggung jawab untuk mengangkat kedudukan bahasa Melayu. Lazimnya perniagaan yang besar bermula dari perniagaan yang kecil,” ujarnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×