Saya tiada agenda jatuhkan PM - Hassan Karim

Saya tiada agenda jatuhkan PM – Hassan Karim

hassan
HASSAN Abdul Karim menghadiri majlis sambutan Chap Goh Mei di Rumah Berhala Leng Suah Chee di Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan beliau tiada  agenda untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Presiden PKR.

Sebaliknya, gesaan agar kerajaan memberi penjelasan berhubung kejatuhan nilai matawang ringgit yang dibuat beliau atas kapasiti wakil rakyat dalam usaha membela masyarakat negeri ini.

“Saya tidak akan berasa takut untuk terus mengkritik Kerajaan Perpaduan walaupun merupakan seorang wakil rakyat kerajaan, ini kerana saya perlu bersikap jujur dalam membuat teguran agar sebarang kesilapan dapat diperbetulkan.

“Saya juga tiada sebarang kepentingan atau agenda untuk menjatuhkan beliau, tiada retorik kerana saya tegur untuk kebaikan kerajaan ini. Perdana Menteri perlu beri penjelasan di Parlimen apakah langkah-langkah diambil kerajaan bagi mengatasi kejatuhan ringgit semasa.

PUJIAN

“Pada masa sama saya juga tidak takut untuk beri pujian, kredit serta mengiktiraf Perdana Menteri dan kerajaan ini, saya perlu bersikap adil. Sebagai contoh kejatuhan ringgit pada tahun ini berbeza dengan kejatuhan ringgit pada 1998.

“Ketika ini kadar dasar semalaman (OPR) hanya 3 peratus manakala inflasi pula 1.5 peratus, berbeza berbanding kadar OPR pada 1998 iaitu sebanyak 10 peratus dan inflasi 5.3 peratus,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Chap Goh Mei di Rumah Berhala Leng Suah Chee, Bandar Seri Alam, di sini.

Namun, Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor akui jumlah pelaburan diterima negara sejak Anwar menjadi Perdana Menteri kekal tinggi walaupun pelbagai skandal kewangan dilaporkan berupaya menggugat kepercayaan pelabur.

“Antaranya skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), projek Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan Spanco Sdn. Bhd.

“Sistem ekonomi kita dicemari dengan kes-kes seperti ini, itu merupakan antara punca kejatuhan nilai ringgit, bukan kerana mereka (pelabur asing) tidak percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN