Peniaga sup daging akui kecuaian, nafi paksa pelanggan

Peniaga sup daging akui kecuaian, nafi paksa pelanggan

SENARAI harga menu di Sup Padu Pakdin yang beroperasi di bazar Ramadan di Semabok, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peniaga yang didakwa menjual sup daging mempunyai telur lalat kepada seorang pelanggan wanita dalam kejadian Selasa lalu, tampil menjelaskan perkara sebenar.

Pemilik Sup Padu Pakdin, Samsudin Jaafar, 69, mengakui kesilapannya kerana tidak memeriksa terlebih dahulu keadaan juadah, sehingga terlepas pandang telur lalat yang berada pada corong tulang.

Katanya, dia bagaimanapun terkilan dan kecewa kerana perkara itu ditularkan dalam media sosial sehingga mengundang persepsi negatif orang ramai.

“Ini kes pertama sepanjang 25 tahun saya berniaga di pasar tani, ekspo dan bazar Ramadan di seluruh negara. Apa salahnya berjumpa dengan saya untuk selesaikan secara baik.

“Saya mengaku tidak perasan telur lalat pada tulang kerana pelanggan datang pukul 4 petang ketika keadaan kelam kabut di gerai, tetapi sup daging yang dijual masih elok dan tidak berbau. Harga sup daging adalah RM10 sebekas dan bukan RM5 seperti yang dikatakan.

“Saya juga tidak memaksa untuk membeli dua bekas sup daging. Sebenarnya anak saya secara tidak sengaja telah memberikan sup kosong kepada pelanggan berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pengunjung bazar Ramadan di Semabok di sini terkejut selepas mendapati terdapat telur lalat pada tulang sup daging yang dibelinya selain mendakwa dipaksa membeli dua bekas juadah itu.

Tambah Samsudin, dia telah menghubungi dan memulangkan semula RM10 kepada pelanggan tersebut.

Menurutnya, kisah yang ditularkan itu turut mendapat perhatian kenalannya termasuk ada yang menawarkan khidmat guaman untuk membawa kes itu ke mahkamah.

“Tetapi saya tidak mahu kerana perkara ini kecil sahaja dan anak telah memulangkan kembali wang pelanggan. Cuma saya kesal apabila kejadian itu ditularkan dalam media sosial kerana ramai yang mengecam saya.

“Kita orang Islam boleh jumpa nasihat, saya silap saya mengaku. Saya berharap kes ini jadi pengajaran untuk menegur cara baik dan bukannya menghebahkan dalam media sosial,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×