Kebakaran belukar, lalang meningkat - Utusan Malaysia

Kebakaran belukar, lalang meningkat

ANGGOTA bomba memantau kejadian kebakaran lalang di Port Dickson baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Laporan kejadian kebakaran belukar dan lalang di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan sejak awal tahun ini sehingga sekarang yang turut didorong cuaca panas dan kering ketika ini.

Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, sehingga bermula Januari sehingga 20 Mac lalu, jumlah kes kebakaran terbuka iaitu melibatkan kebakaran kebun, ladang, hutan, belukar dan lalang adalah melibatkan sebanyak 278 kes.

“Bagi kebakaran belukar dan lalang, sebanyak 26 kes dilaporkan pada bulan Januari sebelum ia meningkat mendadak sehingga 89 kes pada bulan Februari sebelum 95 kes dilaporkan pada bulan Mac ini.

“Ada kejadian kebakaran terbuka ini berpunca daripada kebakaran tiba-tiba akibat cuaca panas namun tidak banyak sebaliknya banyak kes berpunca apabila ada yang membersihkan kebun dan buat pembakaran namun tidak dikawal yang akhirnya kebakaran semakin merebak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau memberitahu, sebanyak 399 kes kebakaran lalang dan belukar juga telah dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Dalam pada itu, Abdul Khair berkata, sebanyak enam kes kebakaran hutan turut dilaporkan pada bulan Januari lalu yang kemudian meningkat kepada 18 kes pada Februari dan sebanyak tiga kes setakat 20 Mac lalu.

“Sehubungan itu saya menasihat orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka seperti pembersihan kebun dan semak samun ketika ini selain pelupusan sampah secara penanaman adalah digalakkan.

“Saya juga meminta mereka memastikan sampah yang hendak dibuang tiada bahan dan barangan yang mudah terbakar seperti bateri dan pemetik api selain putung rokok yang masih bernyala tidak dibuang secara merata-rata,” katanya lagi.

Beliau sementara itu menambah, jumlah kebakaran bangunan bagi bulan Januari sehingga 20 Mac telah mencatatkan sebanyak 76 kes.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN