Duit raya RM300 bantu ringan beban sambut Aidilfitri, beri kepada semua peneroka - Utusan Malaysia

Duit raya RM300 bantu ringan beban sambut Aidilfitri, beri kepada semua peneroka

RAZAK DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Peneroka Felda menyambut baik pemberian duit raya RM300 yang sekian lama dinantikan sejak dihentikan pada 2019 kerana ia besar ertinya kepada golongan itu sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, dalam berdepan isu kos sara hidup semakin tinggi ketika ini, tentunya peneroka mampu mengukir senyuman dengan pemberian bantuan khas tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, peneroka berharap duit raya itu tidak diberikan secara bersasar sebaliknya semua warga peneroka di 317 tanah rancangan seluruh negara menikmatinya.

“Kita begitu berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Felda atas pengumuman bantuan khas RM300 kepada peneroka sempena Aidilfitri kali ini.

“Tentunya duit raya ini cukup bermakna kepada warga peneroka yang merasakan sumbangan kami kepada ekonomi negara dihargai kerajaan,” katanya di sini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Felda yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara itu dilaporkan berkata, bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peneroka berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

Mengulas lanjut, Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, walaupun harga sawit agak baik pada ketika ini, namun ramai peneroka Felda yang pendapatan bulanannya bawah RM1,000.

“Ini disebabkan oleh faktor musim melawas, jadi hasil sawit tidak banyak buah dan pendapatan kurang.

“Peneroka juga berterima kasih kepada kerajaan dan Felda kerana apabila memberi penangguhan hutang untuk hasil bulan Mac ini kepada mereka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000,” katanya.

Jelasnya, dalam keadaan pendapatan dan hasil sawit makin menyusut ketika ini, langkah dilaksanakan kerajaan itu begitu membantu warga peneroka Felda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN