Penduduk El Fasher susut lebih 90 peratus akibat kekejaman RSF

Penduduk El Fasher susut lebih 90 peratus akibat kekejaman RSF

KANAK-kanak Sudan yang berjaya melarikan diri dari al-Fashir duduk di luar khemah di kawasan perlindungan bandar utara Al-Dabba.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Populasi penduduk bandar El Fasher di barat daya Sudan merosot lebih 90 peratus berbanding tahun lalu, menurut laporan dikeluarkan Amnesty International semalam.

El Fasher yang terletak di rantau Darfur Utara ditawan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang disokong oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak setahun lalu.

Kini, dianggarkan hanya 70,000 penduduk yang masih bertahan di bandar berkenaan, berbanding lebih sejuta pelarian yang pernah berlindung tahun lalu mengikut data organisasi kemanusiaan dan kerajaan Sudan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Amnesty, tindakan pembunuhan, penahanan tanpa bicara, penyeksaan serta pengawasan yang ketat kini menjadi perkara biasa dan berleluasa di bandar berkenaan.

Perang saudara di Sudan terus memuncak sejak tercetus pada April 2023 tanpa menunjukkan tanda-tanda bakal berakhir. Keadaan itu memburuk memandangkan pentadbiran Trump tidak berminat untuk mendesak sekutunya, UAE, supaya menghentikan bekalan senjata kepada RSF.

Amnesty menegaskan RSF melakukan jenayah terhadap kemanusiaan serta pembersihan etnik sepanjang kempen ketenteraannya yang mengheret El Fasher dalam konflik.

Bagi mengumpul bukti baharu, Amnesty menghabiskan masa selama dua bulan menemubual 25 orang awam, termasuk 19 penduduk tempatan dan enam pekerja kemanusiaan mengenai situasi di bandar itu.

Seramai 17 orang pernah ditahan di pusat tahanan RSF, manakala 15 lagi melarikan diri dari El Fasher antara Julai hingga Ogos 2026.

“Penyeksaan adalah perkara rutin dalam mana-mana pusat tahanan RSF. Mereka menembak mati sesiapa sahaja yang cuba memandang wajah mereka malah jika anda tidur terlalu lama, mereka tidak suka dan akan menembak anda.

“Mereka bertanya, ‘Kamu mahu berehat? Kami akan berikan rehat selama-lamanya’,” kata seorang bekas tahanan berusia 29 tahun yang mahu dikenali sebagai Modathir.

Modathir yang berasal daripada etnik Zaghawa itu memberitahu bahawa beliau akhirnya berjaya meloloskan diri dari penjara berkenaan.

Dianggarkan 10 juta penduduk hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di dalam negara, manakala empat juta lagi melarikan diri ke negara-negara jiran.

Secara keseluruhannya, lebih 150,000 nyawa dipercayai terkorban sejak pakatan perkongsian kuasa di Sudan tumbang tiga tahun setengah yang lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini