Dewan Rakyat bincang isu mafia korporat, Felda hari ini

Dewan Rakyat bincang isu mafia korporat, Felda hari ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan mengenai mafia korporat dan isu salah guna kuasa melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) antara perkara dibangkitkan pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan mafia korporat yang melibatkan pelanggaran hukum dan tindakan yang telah diambil selama ini.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula bertanya kepada Perdana Menteri mengenai status terkini siasatan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Felda termasuk anak syarikatnya, Felda Investment Corporation.

Memuatkan artikel berkaitan…

Usai sesi itu, persidangan diteruskan menerusi sesi soal jawab dengan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta Menteri Ekonomi menyatakan indikator dasar, sasaran kuantitatif dan tempoh pencapaian yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mengurangkan jurang pembangunan antara daerah.

Selain itu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai pencapaian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 serta nilai tambah dan pelaburan susulan yang bakal direalisasikan hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pula meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia menjadikan prinsip pelantikan berasaskan merit dan bebas daripada kepentingan politik sebagai antara dasar utama tadbir urus Tabung Haji selaras dengan satu daripada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Selesai sesi soal jawab, sidang diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Oktober.

Sidang Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini