MADRID: Perdana Menteri Sepanyol pada Isnin mengumumkan pilihan raya mengejut pada 29 November, selepas Parlimen menolak langkah bantuan perumahan yang dicadangkan kerajaan minoriti pimpinannya susulan tunjuk perasaan di seluruh negara.
Kekalahan usul bantuan kerajaan pada Jumaat itu merupakan kemunduran politik terbaharu bagi Perdana Menteri Sosialis, Pedro Sanchez, antara segelintir pemimpin kerajaan berhaluan kiri yang masih berkuasa di Kesatuan Eropah (EU).
“Untuk melakukan lebih banyak perkara, kita perlu memperbaharui dan memperluaskan sokongan rakyat,” kata Sanchez dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, sambil menambah bahawa matlamatnya adalah mendapatkan majoriti progresif jauh lebih besar di Parlimen.
Pilihan raya umum seterusnya dijadualkan diadakan selewat-lewatnya pada Ogos 2027.
Sanchez mempercepatkan pilihan raya itu ketika bantahan berhubung pasaran perumahan Sepanyol semakin memuncak.
Pengumumannya dibuat selepas puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di Madrid dan beberapa bandar lain di Sepanyol pada Sabtu bagi menuntut tindakan menangani isu kemampuan memiliki atau menyewa rumah.
Langkah yang dicadangkan itu, termasuk pembaharuan automatik kontrak sewaan dan sekatan terhadap pengusiran penyewa yang terdedah, ditolak oleh parti-parti pembangkang di Parlimen Sepanyol.
Kekalahan itu membangkitkan kemarahan mereka yang memprotes peningkatan kos perumahan di negara itu, selain menyerlahkan kesukaran yang dihadapi kerajaan gabungan minoriti pimpinannya untuk meluluskan undang-undang.
Demonstrasi itu tercetus susulan pengusiran Maricarmen Abascal, 87, dari rumah pangsanya di Madrid bulan lalu, selepas dia menetap di situ selama beberapa dekad.
Pada Sabtu lalu, bantahan berhubung krisis perumahan yang berpunca daripada tindakan pelancong memonopoli sewaan jangka pendek dan rumah percutian di seluruh Sepanyol bertukar menjadi pertempuran ganas apabila penunjuk perasaan bertindak membaling pagar ke arah polis rusuhan.
Puluhan ribu penduduk memenuhi jalan raya di Madrid dan beberapa bandar lain bagi mendesak tindakan tegas diambil bagi menangani krisis berkenaan selepas rancangan kerajaan disekat oleh pihak pembangkang. – AGENSI











