TEL AVIV: Tentera Israel menggesa sebarang serangan ke atas Iran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya negara haram itu yang akan diadakan pada 27 Oktober ini, bagi mengelakkan proses pengundian tergendala dan kepercayaan rakyat terhadap institusi ketenteraan terus terhakis.
Akhbar Haaretz melaporkan, meskipun risikan menunjukkan Iran sedang meningkatkan simpanan peluru berpandu balistik dan kapasiti pengeluarannya, serangan terhadap negara itu dikhuatiri menjejaskan kepercayaan awam serta mencetuskan tanggapan tindakan berkenaan bermotifkan politik.
Kepercayaan rakyat terhadap tentera dan agensi keselamatan Israel merosot susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, manakala tentera turut terheret dalam pertikaian politik mengenai pihak yang perlu dipertanggungjawabkan ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berusaha menangkis kritikan terhadap kepemimpinannya.
Amaran itu menyusul laporan Channel 12 bahawa Ketua Tentera Israel, Eyal Zamir, memberitahu rakan sejawatnya bahawa Amerika Syarikat (AS) sedang bersiap sedia untuk kembali berperang dengan Iran dalam tempoh tiga minggu lagi.
Zamir berkata, serangan sedemikian boleh menyebabkan pilihan raya ditangguhkan, manakala Iran dijangka melancarkan serangan balas terhadap Israel sekiranya AS meningkatkan tindakan ketenteraannya.
Kebimbangan Netanyahu mungkin menangguhkan pilihan raya akan datang turut disuarakan pihak pembangkang Israel.
Tinjauan menunjukkan Netanyahu mahupun blok pembangkang anti-Netanyahu tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk memperoleh majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan.
Sebelum ini, Netanyahu mendakwa Hamas akan menyerang Israel menjelang pilihan raya itu.
Beliau juga memberi amaran pada minggu sebelumnya musuh negara itu berkemungkinan melancarkan serangan.
Menurut The Times of Israel, ahli politik pembangkang Israel, Yair Lapid, mengkritik Netanyahu selepas diberi taklimat mengenai risikan berkaitan Hamas.
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak memberitahu saluran televisyen Channel 12, Netanyahu sedang membuat persiapan untuk melancarkan perang yang boleh menyebabkan pilihan raya ditangguhkan.
“Netanyahu sedang menyediakan asas untuk berperang dengan cara yang boleh menangguhkan pilihan raya,” katanya.
Kebimbangan tentera bahawa perang baharu boleh menyebabkan pilihan raya ditangguhkan timbul ketika Presiden AS, Donald Trump, sedang mempertimbangkan serangan terhadap Iran. – AGENSI











