Dr. Akmal terima ugutan bunuh, suspek sudah diberkas polis

Dr. Akmal terima ugutan bunuh, suspek sudah diberkas polis

MUHAMAD AKMAL Saleh menunjukkan laporan polis dibuatnya di IPD Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin di sini, petang tadi untuk membuat laporan polis susulan ugutan bunuh diterimanya.

Laporan dibuat susulan maklumat disampaikan seorang individu yang menghubunginya hari ini memaklumkan, bahawa dia terdengar perbualan berkenaan ugutan itu di sebuah premis.

Muhamad Akmal menegaskan, beliau tidak akan berganjak walaupun menerima ugutan sedemikian, susulan kelantangannya dalam isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di rangkaian kedai serbaneka, KK Mart.

“Ini tidak akan mematahkan semangat atau memberi kesan terhadap apa yang saya rasakan betul untuk dipertahankan kerana ia bukanlah isu politik dan perkauman.

“Ia adalah isu bagaimana kita umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela agama kita daripada dihina.

“Walaupun dengan ugutan yang ada ini, saya tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek telah diberkas susulan laporan diterima oleh Balai Polis Kandang.

Katanya, bagaimanapun suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana mengalami masalah kesihatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN