150,000 pekebun kecil getah tidak aktif - Utusan Malaysia

150,000 pekebun kecil getah tidak aktif

Semakin banyak kebun getah terbiar disebabkan harganya yang murah dan generasi muda tidak lagi minat menoreh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 150,000 daripada 500,000 pekebun kecil getah di negara ini tidak lagi aktif menoreh sekali gus menyebabkan semakin banyak kebun-kebun terbiar.

Harga murah, cuaca, generasi menoreh semakin tua dan pewaris tidak minat adalah antara faktor yang mempengaruhi isu tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Biro Kebajikan, Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim, 59, berkata, walaupun harga baharu getah beku/sekerap kini RM3.50 sekilogram namun nilai tersebut belum mampu menarik minat orang muda menoreh.

Menurut beliau, ini kerana harga tersebut masih murah dan tidak sepadan de­ngan kos sara hidup ketika ini.

Oleh itu, Anuar berkata, mereka yang masih menguruskan kebun-kebun getah ketika ini membabitkan kalangan yang berumur purata 68 tahun dan ke atas menyebabkan semakin banyak kebun getah tidak diusahakan.

“Selain harga, anggaran cuma boleh menoreh antara 10 hingga 15 hari sebulan tidak mampu untuk menampung kelangsu­ngan hidup. Jadi tidak hairan jika semakin banyak kebun getah terus dibiarkan,” kata beliau.

PENOREH

Menurut beliau, ketika cuaca panas ketika ini, penoreh di uta­ra seperti Kedah terutamanya sedang mengeluh kerana susu semakin kurang selain jika daun getah mereka tidak boleh menoreh.

Selasa lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, kerajaan mengambil perhatian serius dakwaan bahawa kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh membabitkan anggaran keluasan 420,000 hektar sehingga menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar RM2.3 bilion.

Mengulas lanjut, kata Anuar, kebanyakan pekebun ketika ini terutama generasi muda yang mewarisi kebun tidak lagi meng­anggap kerja menoreh sebagai kerja utama sebaliknya melakukannya sebagai kerja sampingan.

“Jadi kebun-kebun tidak aktif dianggarkan 150,000 kebun mungkin akan terus bertambah. Selain itu kebun itu kurang ditoreh kerana hanya dikerjakan oleh meraka yang berusia 68 tahun dan ke atas.

‘Mereka yang berusia emas hanya mampu menoreh tidak kurang daripada satu hektar pokok getah dan hasilnya hanya untuk keperluan dapur sesuai dengan kudrat mereka yang terbatas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, faktor dan harga untuk me­ngupah penoreh sangat sukar didapati dan jika ada yang mahu menoreh kebanyakan melakukan konsep bahagi sama banyak dengan pemilik kebun.

“Ada pengusaha atau pemilik kebun yang memberikan upah menoreh dibahagi dua atau tiga hasil jualan kepada mereka (buruh) yang bekerja di kebun sudah tentu memberikan kesan pendapatan sehingga mereka gemar melakukan pekerjaan lain untuk memperoleh upah yang banyak,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, tidak dinafikan ramai pemilik kebun getah menukarkan status tanaman itu kepada ladang komersial berasaskan sawit dan pertanian seperti sayur-sayuran atau tanah disewa kepada peng­usaha lain.

“Menerusi perbualan dengan pekebun kecil, ramai yang sudah menebang pokok getah untuk ditanam sawit dan mengusahakan kebun sayur-sayuran malah ada yang dibiarkan terus kebun getah ditumbuhi semak-samun apabila menerima tekanan harga komoditi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×