PORT DICKSON: Majlis perkahwinan dua pasangan pengantin yang diadakan di sini hari ini berlangsung dengan keunikan tersendiri apabila ia diserikan dengan persembahan tarian singa.
Jarang berlaku seperti kelaziman majlis persandingan dan kenduri pengantin Melayu, kehadiran 15 orang ahli pasukan tarian singa berkenaan telah menceriakan kedua-dua pasangan pengantin yang diraikan selain tetamu jemputan yang hadir.
Menurut Mohamad Zamrin Mohamad Jabor, 51, dia sememangnya mahu memberikan kelainan dalam majlis perkahwinan dua orang anaknya iaitu anak sulung, Nornabila dan pasangan, Zaid Amir Badarudin dan anak keduanya, Norizzudin dan pasangan, Sharifah Nor Amiera Azhar.
“Ini majlis perkahwinan pertama dalam keluarga, memang saya merancang untuk memberikan kelainan pada majlis ini. Apabila saya melihat majlis hari ini hampir dengan sambutan Tahun Baharu Cina, timbul idea untuk membawa persembahan tarian singa ini.
“Saya dan isteri, Ailis Misliza Matsom mahu meraikan pasangan pengantin dan keluarga besan selain meraikan tetamu seramai kira-kira 1,800 orang yang telah dijemput.
“Selain itu juga, saya harap persembahan yang diadakan ini dapat membawa semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat negara kita ini supaya kita saling kenal budaya kaum lain katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Laman Sri Pinang di sini.
Mohamad Zamrin dalam pada itu memberitahu, dia gembira yang berlangsung tersebut yang turut diserikan dengan persembahan silat itu berlangsung dengan meriah.
“Pastinya majlis ini akan diingati selalu dalam keluarga kami juga dalam kalangan tetamu yang hadir,” katanya lagi.
Sementara itu, wakil pasukan tarian singa dari Dragon Art Lion & Dragon Dance Association NSPD Malaysia, Toh Eng Hock, 27, berkata, ini kali pertama pasukannya itu membuat persembahan pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu.
“Memang ini kali pertama, sebelum ini kami biasa buat persembahan di majlis perkahwinan masyarakat Cina dan India sahaja. Kami juga teruja dan gembira apabila melihat pasangan pengantin, keluarga dan tetamu yang hadir ceria selain dapat menerima persembahan tarian singa yang kami bawakan ini,” katanya lagi.-UTUSAN.










