PORT DICKSON: Khazanah marin seperti batu karang dan ikan hiasan di perairan Pantai Tanjung Biru hingga ke Tanjung Tuan di sini, diancam kegiatan pencurian.
Aktivis pemuliharaan marin, Noor Fadzli Shah, 46, berkata, antara hidupan laut yang menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab itu termasuklah ikan karang seperti clownfish (ikan nemo) yang popular dijadikan sebagai ikan hiasan.
Katanya, kegiatan itu bukan baharu, namun dakwanya semakin berleluasa kebelakangan ini.
“Ia bukan perkara baharu. Saya sudah menyelam di kawasan ini sejak 2010 dan memang nampak perubahan pada ekosistem marin terutama di Tanjung Biru.
“Saya tidak pasti sama ada ia dilakukan oleh individu persendirian atau peniaga, namun kemungkinan besar aktiviti ini melibatkan orang tengah yang menjual kepada kedai ikan hiasan.
“Mereka ambil hasil laut ini, tukar kepada duit tanpa fikir kesannya kepada alam sekitar,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Biru.
Katanya, perairan Pantai Tanjung Biru kaya dengan pelbagai spesies marin termasuk penyu, karang lembut, karang keras serta ikan karang berwarna-warni yang menjadi khazanah semula jadi berharga.
Tambah Noor Fadzli, jika aktiviti haram itu tidak dibendung, ia akan menjejaskan keseimbangan ekosistem marin sekali gus menurunkan daya tarikan pelancongan di Port Dickson.
“Batu karang bukan sekadar hiasan bawah laut, ia tempat perlindungan dan pembiakan ikan. Jika diambil atau dirosakkan, kesannya berantai,” katanya yang berharap pihak Jabatan Perikanan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapatkan memperketatkan pemantauan di kawasan terjejas.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa pihak berwajib seperti Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti menangkap ikan dan mencuri batu karang di kawasan terlibat.
“Saya tidak mahu pelancong mengambil kesempatan membawa pulang batu karang atau ikan hiasan dari kawasan itu.
“Tindakan tegas terhadap mereka yang menceroboh perlu diambil agar kawasan tersebut terus dijaga,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini.
Jabatan Perikanan telah menetapkan perairan sejauh satu batu nautika dari pantai Tanjung Tuan di sini adalah kawasan larangan perikanan.
Ia telah diwartakan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994.– UTUSAN










