KUALA LUMPUR: Pakar meramalkan pesakit kanser di Malaysia akan meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, kanser hati adalah salah satu daripada lima kanser paling lazim di Malaysia.
“Kanser lain yang lazim adalah kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan nasofaring.
“Kanser hati paling teruk kerana ia sering didiagnosis pada peringkat lewat apabila gejala telah muncul,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati Sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Komune Living and Wellness, Bandar Tun Razak, di sini semalam.
Kira-kira 48,639 kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan dan lebih membimbangkan angka tersebut terus meningkat setiap tahun.
Menurut Dzulkefly, Hepatitis B adalah penyebab paling utama kanser hati primer di seluruh dunia dan Malaysia menyumbang 44% daripadanya.
“Obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit hati berlemak atau disebut Metabolic Dysfunction Associated Fatty Liver Disease (MAFLD) dengan cepat menjadi punca utama kanser hati,” katanya.
Menurut Dzulkefly, penyakit kanser boleh dicegah sama ada melalui imunisasi Hepatitis B atau rawatan awal penyakit hati yang dikesan.
“Penting untuk kita lakukan saringan melalui program-program yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya dapat hindarkan kanser ini dari peringkat awal,” katanya. – UTUSAN










