Tangani pencemaran langkah cegah kanser – Sultan Nazrin

Tangani pencemaran langkah cegah kanser – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha mencegah kanser tidak boleh tertumpu kepada faktor seperti merokok dan pemakanan, sebaliknya perlu merangkumi tindakan menangani pencemaran udara serta bahan berbahaya yang dilepaskan industri dan kenderaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, bukti saintifik menunjukkan pencemaran bukan sahaja menjejaskan paru-paru, malah bahan kimia daripada industri, trafik dan pembakaran bahan api turut dikaitkan dengan beberapa jenis kanser.

Titah baginda, pendedahan terhadap bahan kimia berkenaan dalam tempoh panjang dikaitkan antaranya dengan leukemia dalam kalangan kanak-kanak serta kanser paru-paru, pundi kencing dan payudara dalam kalangan orang dewasa.

“Apabila kita bercakap mengenai pencegahan kanser, kita tidak boleh hanya bercakap mengenai merokok dan pemakanan, walaupun kedua-duanya penting.

“Kita juga mesti bercakap secara jujur mengenai apa yang dilepaskan oleh kilang kita, apa yang dikeluarkan kenderaan ke jalan raya dan apa yang kita biarkan memasuki paru-paru seorang kanak-kanak yang sedang tidur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2026 anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sunway di Bandar Sunway, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, isu berkenaan semakin relevan ketika rantau ini berdepan kebakaran hutan di Kalimantan, musim kering yang diperburuk oleh fenomena El Nino serta tiupan angin yang tidak memihak kepada negara.

Baginda bertitah, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kewujudan kawasan yang digelar sebagai ‘cancer alleys’ di beberapa negara apabila perkembangan industri berat berlaku lebih pantas berbanding langkah perlindungan terhadap masyarakat yang tinggal berhampiran.

Titah baginda, istilah itu berasal dari Louisiana, Amerika Syarikat apabila loji kimia beroperasi di sepanjang Sungai Mississippi berhampiran kawasan penempatan yang dilaporkan mencatat kadar kanser jauh lebih tinggi daripada purata kebangsaan.

“Fenomena hampir sama turut dikenal pasti di Afrika Selatan, kawasan perindustrian di China dan sepanjang Delta Niger di Afrika Barat.

“Perkara ini bukan masalah yang hanya berlaku kepada sesebuah negara atau industri dan Malaysia yang mempunyai koridor perindustrian serta sungai yang mengalir melalui kawasan kilang dan perladangan wajar melihatnya sebagai satu peringatan,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah, tanggungjawab menangani perkara berkenaan bukan terletak kepada Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya turut membabitkan pihak yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, pengangkutan dan industri serta pemimpin perniagaan.

Titah baginda, pihak terbabit perlu menimbang kos bagi mewujudkan pengeluaran lebih bersih berbanding satu kos yang tidak mungkin dapat dinilai dengan wang iaitu nyawa seorang kanak-kanak.

“Ini bukan tugas Kementerian Kesihatan sahaja. Ia turut menjadi tanggungjawab mereka yang menguruskan alam sekitar, pengangkutan dan industri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menyentuh jurang akses terhadap pengesanan dan rawatan kanser apabila peluang seseorang pesakit untuk terus hidup adalah berbeza berdasarkan tempat tinggal serta kemampuan mendapatkan rawatan.

Oleh itu, baginda berharap program saringan kanser kebangsaan dapat diperluas kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

“Program saringan kebangsaan yang dapat mencapai seorang pekerja ladang semudah seorang eksekutif syarikat bukanlah satu kemewahan, tetapi antara pelaburan terbaik yang boleh kita lakukan untuk kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyeru saintis dan doktor meneruskan penyelidikan yang bukan sahaja mempunyai ketelitian saintifik tetapi dapat memberi manfaat kepada pesakit di setiap negeri, bukan hanya di bandar-bandar besar.

Titahnya, pembuat dasar juga perlu mendengar dengan teliti bukti serta pengalaman peribadi yang dikongsikan dan membawanya ke dalam strategi kanser kebangsaan.

“Perjuangan melawan kanser bermula dengan pilihan kita sendiri, tempat kerja kita dan kesediaan kita untuk bercakap secara terbuka mengenai penyakit yang terlalu tidak dibincangkan secara terbuka,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×