Curi kabel: 16 individu ditahan termasuk warga asing - Utusan Malaysia

Curi kabel: 16 individu ditahan termasuk warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menahan seramai 16 orang individu termasuk dua wanita selepas disyaki mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi dianggarkan bernilai RM10,000 dalam kejadian di Taman Kelab Tuanku, di sini pada 20 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan pada pukul 1 petang, 21 Februari lalu iaitu kurang 24 jam selepas laporan polis diterima.

Menurut beliau, kejadian itu disedari oleh seorang juruteknik yang ke lokasi pencawang kira-kira pukul 5.30 petang dan mendapati DC power kabel telah dipotong dan dicuri. 

“Anggaran kabel yang telah dipotong sebanyak 300 meter dengan jumlah kerugian kasar kira-kira RM10,000. Hasil risikan dan maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban telah menangkap 16 suspek termasuk seorang lelaki warganegara Bangladesh.

“Nilai barang rampasan dalam tangkapan ini adalah sebanyak RM1.5 juta. Siasatan lanjut mendapati modus operandi kumpulan ini mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi di pencawang yang menjadi sasaran mereka,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Mohamad Hatta lagi, kumpulan berkenaan turut mencuri kabel serta beberapa komponen lain dengan tujuan untuk menjual semula kepada syarikat telekomunikasi lain bagi mengaut keuntungan yang lumayan. 

Menurutnya, komponen-komponen yang tidak boleh dijual tersebut akan dijual pula ke kedai besi buruk. 

“Kami percaya kumpulan ini mula bergiat aktif mencuri kabel syarikat telekomunikasi sejak tahun lalu dengan menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.

Beliau turut memohon syarikat telekomunikasi serta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes kecurian kabel tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Saidi Busman menerusi nombor 011-31558034.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×