Calon SPM maut, terbabit nahas dengan treler - Utusan Malaysia

Calon SPM maut, terbabit nahas dengan treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang sedang berlangsung ketika ini meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 7,  Jalan Pedas Kundur Linggi, dekat simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi, di sini pada pukul 1.03 tengah hari itu.

Mangsa, Muhammad Adiff Haikal Mohd Mizam, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau, di sini disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang di zon merah, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, kemalangan membabitkan motosikal ditunggangi mangsa dan sebuah treler dipandu lelaki berusia 21 tahun.

“Siasatan awal mendapati treler dari arah Plaza Tol Pedas Linggi dan berhenti seketika untuk menunggu giliran di simpang tiga Jalan Pedas Kundur Linggi untuk menghala masuk ke arah sebelah kanan ke Kundur. 

“Semasa sedang keluar ke simpang sebelah kanan tersebut, datang motosikal yang ditunggangi pelajar sekolah dari Kundur menghala ke Pedas tidak dapat mengelak lalu terlanggar tayar bahagian tengah sebelah kanan.

“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Rembau oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan  dan seterusnya dibawa ke HTJS untuk mendapatkan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, mangsa yang turut bekerja sambilan di sebuah kedai makan mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan, kaki sebelah kiri patah dan kecederaan dalaman meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan pukul 9 pagi esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sehubungan itu saksi bebas kemalangan ini sedang dikesan. Individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di nombor 06-6851999,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN