Anggota bomba perlu tingkat persediaan hadapi kemalangan babitkan EV - Utusan Malaysia

Anggota bomba perlu tingkat persediaan hadapi kemalangan babitkan EV

ABDUL Khair Osman (tengah) bersama anggota pasukan forensik dan ketua balai bomba di negeri ini mendengar penerangan daripada tenaga pengajar IKTBN Chembong, Mohd. Yazid Aziz (tiga dari kiri) sempena Kursus Asas Kenderaan Elektrik (EV) di IKTBN Chembong, Rembau.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Anggota dan pegawai bomba kini perlu dipertingkatkan persediaan termasuk pengetahuan bagi menghadapi kejadian kemalangan yang melibatkan kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, tahap persediaan itu termasuk melibatkan lebih 900 anggota dan pegawai bomba di negeri ini menerusi pelaksanaan kursus-kursus berkaitan.

“Kenderaan elektrik ataupun (EV) ini semakin meluas penggunaannya di Malaysia, jadi persediaan kepada pasukan keluaran operasi (PKO) adalah penting, sekiranya berlaku kecemasan tindakan serta merta dapat dilakukan dengan menggunakan alat-alat khas yang berbeza dengan kenderaan biasa.

“Berbanding kenderaan biasa, sekiranya berlaku kemalangan, kenderaan EV ini kita kena buat pemotongan elektrik terlebih dahulu. Pasukan penyelamat juga perlu mengambil kira memadam kebakaran yang melibatkan bateri atau pun kereta itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kursus Asas Kenderaan Elektrik (EV) membabitkan 30 pasukan forensik dan ketua balai bomba di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, di sini.

Abdul Khair berkata, beberapa siri kursus berkaitan dengan kerjasama pihak IKTBN akan terus dilaksanakan selepas ini.

“Buat masa ini masih belum terdapat kes membabitkan kemalangan EV di negeri ini termasuk kenderaan terbakar semasa dicas di pusat pengecas kenderaan tersebut. Di Johor insiden ini berlaku pada bulan Januari lalu dan inilah antara senario yang memerlukan pasukan penyelamat di negeri ini untuk sentiasa bersiap sedia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, JBPM Negeri Sembilan telah merekodkan peningkatan sebanyak 108.06 peratus kes kebakaran terbuka pada bulan Februari lalu berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Pada bulan Februari telah menunjukkan peningkatan kes yang ketara iaitu sebanyak 67 kes di mana pada tahun ini sebanyak 129 kes direkodkan berbanding hanya 62 kes tahun lalu.

“Kebakaran terbuka ini membabitkan kebakaran di kebun, ladang, hutan, belukar dan juga lalang sampah, dengan keseluruhan kes untuk dua bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 167 kes berbanding 83 kes tahun sebelumnya.

“Untuk kebakaran terbuka ini, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson merekodkan panggilan kebakaran tertinggi pada tahun ini iaitu dengan 47 kes, diikuti BBP Seremban, Seremban 2 dan Nilai masing-masing dengan 40 kes,” jelasnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN