NGO anjur program gunting rambut percuma, ringankan beban ibu bapa - Utusan Malaysia

NGO anjur program gunting rambut percuma, ringankan beban ibu bapa

MOHD. Raziff Mansor (baris belakang, tengah) pada Program Back To School Gunting Rambut Percuma anjuran pihak Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan di Masjid An-Nur Pekan Rembau, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebagai persediaan bagi pembukaan sesi baharu persekolahan pada hari Isnin ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menerusi program gunting rambut percuma bertujuan meringankan beban ibu bapa dan penjaga.

Pengerusi Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan, Mohd. Raziff Mansor berkata, kira-kira 50 pelajar sekolah menengah dan rendah di daerah ini terlibat dalam program itu yang diadakan di Masjid An-Nur Pekan Rembau, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program tahun ketiga pelaksanannya itu adalah bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan anak-anak masing-masing ke sekolah.

“Tiada kriteria bagi peserta program gunting rambut percuma ini, bagaimanapun keutamaan kami adalah bagi golongan berpendapatan rendah serta mempunyai ramai anak yang masih bersekolah.

“Sekarang ini, caj menggunting rambut sudah lebih RM10 seorang, bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai tentu mereka terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih jadi saya harap program ini dapat meringankan beban mereka,” katanya pada Program Back To School Gunting Rambut Percuma di Masjid An-Nur Pekan Rembau, di sini, hari ini.

Mohd. Raziff dalam pada itu berkata, program berkenaan mendapat kerjasama daripada Biro Belia Masjid Jamek An-Nur diketuai Imam 3, Muhammad Amin Mohamad Sarif dan menggunakan khidmat tiga tukang gunting rambut.

Sementara itu, seorang ibu yang ditemui, Azila Musnan, 37, dari Kampung Chuai Hilir berkata, program berkenaan sangat membantunya dan suami apatah lagi kesemua empat anak mereka masih bersekolah iaitu masing-masing berusia lima hingga 12 tahun.

Menurutnya, dia hanya bekerja sebagai tukang pembersihan di sebuah kolej vokasional di daerah ini dan suami yang bekerja kilang sudah membelanjakan hampir RM1,000 bagi persiapan sekolah anak-anak mereka untuk tahun ini.

“Memang besar perbelanjaan sekolah anak-anak, mana barangan yang masih boleh digunakan balik, kami guna. Apabila tahu sahaja ada khidmat gunting rambut percuma ini kami terus sertai kerana kos bagi tiga anak menggunting rambut sudah melebihi RM30,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, dia amat berharap agar program seumpama itu dapat dianjurkan pada setiap tahun bagi membantu golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN