PETALING JAYA: Kerenah birokrasi melibatkan perkhidmatan secara terus kepada rakyat yang tidak perlu, menyusahkan serta hanya melambatkan proses kerja perlu dimansuhkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah berkata, kerajaan wajib memberi keutamaan dalam melihat semula perkara tersebut.
“Sama ada proses kerja penjawat awam boleh diperbaiki dan dipercepatkan supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kakitangan awam.
“Sistem dahulu mungkin manual sehingga kita (kakitangan awam) perlu buka fail, geran, membuat carian dan sebagainya tetapi sekarang kita sudah ada pangkalan data, sepatutnya kita sudah boleh percepatkan proses kerja.
“Di samping kita mempunyai sistem yang canggih, kita juga perlu ada prosedur operasi standard (SOP) dan dasar yang lebih baik serta mudah tetapi kekal selamat.
“Setiap kali kita ubah sistem kepada yang lebih baik, memang kita ikuti dengan satu prosedur baharu lebih baik, cepat dan mudah. Kita tidak boleh terikat dengan cara yang lama,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Borhan menegaskan birokrasi masih lagi diperlukan dalam perkhidmatan awam bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang.
“Sistem kerajaan besar, jadi kita tidak memusatkan sesuatu kuasa kepada satu individu untuk memastikan sentiasa ada elemen semak dan imbang yang menjadi birokrasi tetapi jangan terlampau banyak.
“Hanya perlu dalam keadaan-keadaan yang ada tujuannya sahaja supaya tiada isu salah guna kuasa,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mahu peraturan dan pekeliling lapuk yang masih terpakai dalam perkhidmatan awam ketika ini ditambah baik supaya ia sesuai dengan kehendak semasa.
Beliau mengarahkan KPPA, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (KPICU) Jabatan Perdana Menteri supaya menyemak semula perkara itu.
Borhan berpendapat, semakan tersebut perlu dilakukan oleh semua agensi dan kementerian kerana ada peraturan yang merangkumi bidang dan spesifikasi di sesebuah kementerian.
“Saya rasa semua kementerian perlu lihat, bukan kepada KPPA, KSP dan KPICU sahaja.
“Kadang-kadang peraturan berkaitan tidak lapuk tetapi ia hendak dijajarkan semula bagi menyesuaikan ia dengan dasar kerajaan semasa,” katanya. – UTUSAN










