KUALA LUMPUR: Amalan birokrasi lama yang mengekang penerokaan secara meluas teknologi baharu termasuk bidang kecerdasan buatan (AI), perlu dihentikan supaya negara tidak ketinggalan dalam arus inovasi.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pimpinan kerajaan supaya memperkukuh sinergi dengan pelbagai pihak bagi melonjakkan sektor berkenaan dan tidak hanya mengharapkan peruntukan melalui belanjawan semata-mata.
Beliau berkata, negara mesti bergerak pantas dalam memenuhi tuntutan semasa terutama dalam dunia inovasi dan komersialisasi.
Katanya, Malaysia mempunyai keupayaan untuk bergerak pantas dalam menerokai bidang baharu khususnya teknologi berdasarkan pengenalan fakulti AI yang hanya diwujudkan dalam masa tiga bulan sahaja.
“Sebab itu saya hendak gesa rakan-rakan terutama di MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), kerana ini satu kementerian yang penting dari dulu, hala tuju baharu daripada sudut pemikiran dan meneroka alam pemikiran serta kaedah baru.
“Kita tak boleh mengikut (cara lama) lagi, kita kena melangkah cepat. Maksudnya kita kena ada tahap kecepatan dan kepantasan dalam dunia pasca-normal ini.
“Kita mesti melangkah. Kalau kita tunggu semua (sudah tersedia) baru nak diperkenalkan dengan komputer, sedangkan orang lain dah (ada kepakaran) AI dan ‘quantum computing’,” katanya pada majlis pelancaran Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara 2026 (NICE 2026) di sini, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bidang baharu dalam teknologi dan inovasi sepatutnya dikuasai bukan segelintir kecil masyarakat tetapi didedahkan kepada khalayak lebih besar, termasuk diperkenalkan di peringkat sekolah dan di universiti.
“Mengapa soal AI itu menjadi milik kelompok kecil? Mengapa tak boleh kita dedahkan kepada khalayak? Mengapa soal teknologi kuantum yang sekarang menjadi fokus tidak disampaikan dengan bahasa yang mudah kepada anak-anak sekolah dan universiti? Apakah kita tiada keupayaan?
“Kalau kita nak tunggu sistem dan kurikulum sekolah dan universiti diubah, tentu ia mengambil masa.
“Umpamanya bila kita usulkan jabatan atau Fakulti AI, segera dilaksanakan. Kalau ikut pendekatan lama, penubuhan satu fakulti itu mengikut kaedahnya, mesti merujuk kepada misalnya jabatan, kemudian Senat, sebelum itu perlu buat kajian dan barulah ke Kementerian Pendidikan Tinggi, maka satu tahunlah jawabnya (untuk menunggu),” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, semua pimpinan harus memanfaatkan sumber sedia ada termasuk memantapkan sinergi di antara badan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Kita ada kekangan tetapi kena berusahalah. Ini dapat mengurangkan beban kerajaan daripada sudut penyelidikan.
“Dana untuk penyelidikan tentu ditambah. Awal Oktober, kita akan munculkan Belanjawan Negara,” katanya.
Sementara itu, berkaitan rakyat Malaysia terbabit bencana banjir di Nepal, Anwar berkata, kerajaan memberi perhatian di mana pihak kedutaan Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan. – UTUSAN











