PORT DICKSON: Sebanyak 50 aktiviti dan program telah disenaraikan dalam Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan 2024 bertujuan menggalakkan dan mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, terdapat tiga kluster utama sasaran segmen acara pelancongan yang diberi fokus pada tahun ini iaitu acara berkaitan pantai, ekopelancongan serta adat dan warisan sejajar dengan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025.
Kata beliau, penyenaraian kesemua acara pelancongan itu juga mengambil kira semua elemen termasuk kekuatan dan impak penganjuran dalam usaha menarik minat pengunjung selain sumbangan terhadap sosioekonomi rakyat.
“Saya selalu ingatkan bahawa program yang diatur dan dijalankan ini harus memberikan impak yang semaksimum boleh, kalau boleh setiap satu ringgit yang dibelanjakan itu mendapat manfaat semula kepada rakyat.
“Penting untuk setiap penganjuran itu tidak diulang-ulang di setiap daerah, setiap daerah di negeri ini masing-masing mempunyai ciri tersendiri diharapkan dapat mencungkil dan mengembangkan potensi pelancongan di setiap daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan 2024 di Tapak Campervan, Pantai Batu 5 di sini.
Dalam pada itu, acara ikonik iaitu NS Fest, Pesta Bola Ngoca, Trans Naning Ultra Challenge 2024, Tampin MTB Jamboree, Sopit Biru Sungai Timun dan Kejohanan Motorcross Daerah Jempol kekal disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri tahun ini.
“Saya mahu acara yang diadakan terus berkembang, kalau ia menjadi acara ikonik ia mesti menjadi yang penting bagi negeri ini. Kalendar pelancongan yang ada ini saya harap dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” kata beliau.
Sementara itu, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan memaklumkan, Kalendar Pelancongan Negeri Sembilan 2024 yang disediakan ini juga adalah berdasarkan kepada Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan serta Dasar Pelancongan Negara yang bertujuan sebagai satu kaedah hebahan kepada pemain industri pelancongan, pelancong dan juga komuniti setempat.
Inisiatif tersebut adalah bagi memberi peluang dan hebahan promosi, percutian malah dapat memadankan pakej yang bersesuaian dengan acara yang akan berlangsung.-UTUSAN.










