KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 kawasan tumpuan pelancongan di seluruh negara menjadi fokus pelaksanaan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) bagi memastikan urus niaga lebih telus, selain melindungi hak pengguna dan pelancong.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas inisiatif Patuh menerusi program ZTPP yang diperkenalkan tahun ini.
“KPDN memperluaskan pendekatan PATUH melalui pelaksanaan ZTPP pada tahun 2026, yang memfokuskan kepada 16 kawasan tumpuan pelancongan di seluruh negara.
“Program ini dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kawasan tumpuan pelancongan mempunyai persekitaran urus niaga yang telus, pemaparan harga yang jelas serta perlindungan hak pengguna dan pelancong yang lebih berkesan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang meminta kerajaan menyatakan apakah petunjuk prestasi bagi menilai keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) dalam mengurangkan aduan harga keterlaluan.
Tambah Fuziah, keberkesanan pelaksanaan program ZTPP dinilai berdasarkan tiga bidang utama yang ditetapkan sebagai petunjuk prestasi, dengan pematuhan peniaga menerima wajaran tertinggi sebanyak 70 peratus.
“Penilaian ini merangkumi pematuhan terhadap peraturan penandaan harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan serta pematuhan terhadap perundangan perdagangan.
“Bidang kedua ialah kebersihan dan keceriaan yang diberikan wajaran sebanyak 25 peratus, meliputi aspek pengendalian makanan, kebersihan kawasan dalaman dan luaran premis serta kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk dalam memastikan amalan kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi.
“Baki lima peratus pula diberikan kepada aspek penglibatan dan kerjasama peniaga dalam aktiviti promosi, termasuk komitmen mereka dalam menjayakan program Patuh serta memastikan amalan perniagaan yang baik diteruskan secara konsisten.
“Pelaksanaan program Patuh diharapkan dapat meningkatkan tahap pematuhan peniaga, memperkukuh integriti urus niaga serta memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN











