RCI Batu Puteh tak bercanggah undang-undang antarabangsa

RCI Batu Puteh tak bercanggah undang-undang antarabangsa

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, tidak bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Malah usaha tersebut perlu disokong semua pihak bagi mengembalikan dan mengukuhkan semula kedaulatan negara selepas Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca jatuh ke tangan Singapura pada tahun 2009.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar Negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penubuhan RCI tersebut mestilah menjurus kepada pemerolehan bukti baharu untuk dijadikan hujah berasaskan premis berbeza berbanding yang dikemukakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

BUKTI

Menurutnya, pemerolehan bukti-bukti baharu amat penting untuk dikemukakan sekiranya kerajaan memutuskan untuk membuat semakan terhadap keputusan Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Perolehan bukti baharu sangat penting untuk kesinambungan kenegaraan bagi mengembalikan semula kedaulatan negara. Saya mengalu-alukan usaha kerajaan ini dan ia merupakan langkah yang perlulah didokong oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, bagi membolehkan siasatan dilakukan secara telus, ahli-ahli RCI tersebut perlu mempunyai pengetahuan yang kukuh membabitkan undang-undang antarabangsa dan bukannya dilantik atas dasar politik.

“Kerajaan juga perlu mengambil kepakaran dari British yang mungkin ada menyimpan bukti penting untuk Malaysia gunakan kerana saya berpendapat jika kita gunakan bukti lama ia tidak membawa apa-apa kecenderungan kepada negara,” katanya.

AZMI HASSAN

Bagaimanapun, pakar geopolitik, Dr. Azmi Hassan berkata, beliau berpendapat, tujuan RCI dilaksanakan bukanlah untuk mencabar keputusan ICJ berhubung pemilikan Pulau Batu Puteh sebaliknya untuk mempelajari mengapa Malaysia tewas dalam kes tersebut.

TEWAS

“Saya pasti tujuan RCI itu bukan untuk mencabar keputusan ICJ untuk Batu Puteh kerana rayuannya sudah lepas dan pulau itu adalah milik Singapura dan Batuan Tengah pula pula milik kita.

“Saya percaya RCI itu untuk mempelajari mengapa kita tewas dalam pemilikan Batu Puteh itu kerana rundingan Tubir Selatan masih berjalan antara Malaysia  dengan Singapura.

“Jadi hakikatnya, RCI itu bukan untuk Batuan Tengah kerana milik kita dan bukan juga mahu mencabar keputusan ICJ kerana peringkat rayuan sudah tamat tetapi kerana mahu mempelajari, mengambil iktibar supaya tidak melakukan kesilapan kali kedua dalam rundingan Tubir Selatan,” katanya.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km) selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.

Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003, mahkamah itu kemudiannya memutuskan pulau Batu Puteh adalah milik Singapura pada tahun 2008. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×