ARAU: Langkah Dubai, kononnya usaha dalam kalangan pemimpin parti pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sebagai sengaja direka-reka bagi menyembunyikan kegagalan kerajaan perpaduan yang terpalit banyak isu khususnya berkaitan keceluparan pemimpin DAP.
Dalam masa sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan pemimpin parti itu sama sekali tidak terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang.
Katanya, ramai yang mengunjungi Dubai atau London, namun tidak semestinya ia perlu dikaitkan dengan sesuatu langkah untuk menjatuhkan kerajaan.
FOKUS
Ujarnya, sepatutnya kerajaan memberi fokus terhadap perkara lebih penting khususnya dalam menangani tindakan pemimpin DAP yang membangkitkan isu mengundang sensitiviti Melayu Islam.
Jelasnya, antara perkara yang telah dibangkitkan pemimpin DAP ini adalah seperti Perdana Menteri bukan Melayu, pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan terbaharu cadangan orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“Fokus kepada isu tersebut bukannya cuba membangkitkan perkara tidak berlaku (Langkah Dubai). Pas tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha menjatuhkan kerajaan ini kerana kerajaan sekarang yang berkemungkinan jatuh sendiri,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, muncul Langkah Dubai yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama iaitu menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop yang mendedahkan cubaan itu mendakwa, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk pemimpin parti dalam kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu baru-baru ini.
Beliau mendakwa, pertemuan tersebut berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’,
Selain pemimpin PN, Ismail mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
RUNTUH
Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan perpaduan tidak mustahil boleh runtuh dengan sendirinya tanpa perlu dijatuhkan.
Katanya, tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT, kerajaan tersebut boleh tumbang dengan sendirinya disebabkan pelbagai isu yang mengganggu gugat keharmonian Islam ketika ini.
“Sekarang kita lihat dalam kalangan pemimpin DAP mula membangkitkan perkara yang mempunyai unsur 3R iaitu raja (royalty), agama (religion) dan kaum (race) namun tidak ada sebarang tindakan yang diambil.
“Perdana Menteri perlu memandang serius perkara ini kerana ia cukup bahaya dan boleh mengundang risiko kepada keharmonian kaum. Perlu tegas terhadap pemimpin DAP yang membangkitkan perkara-perkara seperti ini,” katanya. – UTUSAN










