Kepung Demi Palestin berjaya beri tekanan

Kepung Demi Palestin berjaya beri tekanan

SEKRETARIAT Solidariti Palestin yakin perkhemahan peserta ‘Kepung Demi Palestin’ di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat selama lima hari telah menyampaikan mesej dan menyatakan pendirian rakyat Malaysia dalam konflik Palestin-Israel kepada Amerika Syarikat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) yakin bahawa perhimpunan yang diadakan pihaknya selama lima hari di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mampu memberi tekanan kepada negara tersebut yang menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap sekretariat itu, Tian Chua berkata, demonstrasi himpunan aman ‘Kepung Demi Palestin’ berbeza dengan perhimpunan yang diadakan sebelum ini.

Katanya, AS melihat betapa konsistennya peserta himpunan berada di perkarangan kedutaan mereka bagi menuntut keadilan buat Palestin dan ia disokong dengan petugas-petugas media yang memberi liputan setiap masa kepada himpunan tersebut.

“Saya pasti ini merupakan program yang sangat berkesan sebab sebelum ini mereka (AS) hanya terima memorandum dalam 10 minit sahaja, kini mereka berhadapan dengan aktivis sepanjang seminggu. Mereka sedar kehadiran orang di luar yang mendesak AS berhenti memberi bantuan kepada Israel.

“Saya menganggap perhimpunan selama lima hari ini adalah sebagai salah satu pencapai­an negara. Namun, kerja kita masih banyak lagi sebab matlamat utama bukan sekadar beri tekanan kepada AS tetapi membantu Palestin mencapai kedau­latan,” katanya ketika dihubungi.

Sebanyak 63 organisasi termasuk parti politik menganjurkan perhimpunan Kepung Demi Palestin di hadapan Kedutaan AS bermula Selasa lalu sehingga semalam bagi menuntut gencatan senjata dalam konflik di Gaza.

Mengulas lanjut, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu itu berkata, perhimpunan itu mendapat sokongan daripada pelbagai parti politik merentasi blok kerajaan dan pembangkang yang ingin menyatakan pendirian keras terhadap AS demi Palestin.

“Ini merupakan satu perhimpunan yang menyatupadukan semua parti politik dalam negara kita, ini satu perkara yang kita berjuang sama. Saya harap semua pati politik boleh terus ketepikan perbezaan domestik untuk menunjukkan Malaysia satu jiwa, satu hati menyokong Palestin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN