PETALING JAYA: Tindakan pihak mencabar keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana mengenakan penalti berhubung dakwaan pelanggaran penetapan harga ayam tidak bermakna undang-undang membanteras amalan kartel di negara tidak efektif dan lemah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hal ini kerana setiap rakyat sama ada perseorangan atau syarikat berhak merayu dan membela diri dengan membuat semakan terhadap sebarang keputusan yang diputuskan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan seperti mana termaktub dalam undang-undang.
Katanya, Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 masih berjalan seperti biasa sekalipun jika pihak terbabit menang dalam permohonan mencabar keputusan penalti itu.
“Semua rakyat berhak mengemukakan semakan terhadap sebarang keputusan oleh mana-mana badan penguatkuasaan. Misalnya tertuduh disabit kes bunuh, dia berhak merayu di mahkamah atasan. Sekiranya dia lepas dan bebas, tidak bermakna Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu lemah.
“Namun menjadi kewajipan pihak berkuasa mempertahankan undang-undang itu daripada dicabar dengan memastikan segala proses siasatan dan penalti mematuhi undang-undang agar dapat mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, beberapa syarikat pengeluar makanan ayam mencabar keputusan MyCC terhadap penalti RM415 juta atas dakwaan pelanggaran penetapan harga kerana mendakwa penemuan pelanggaran oleh suruhanjaya itu adalah tanpa merit.
Pada 22 Disember, MyCC mengenakan penalti hampir RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan membentuk kartel penetapan harga bagi makanan ayam.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan permohonan mencabar itu berasas atau sebaliknya kerana mahkamah belum mendengar alasan dikemukakan oleh pihak terbabit.
Katanya, terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan dengan melihat alasan dikemukakan oleh semua pihak termasuk MyCC sebelum membuat keputusan. – UTUSAN










