KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (gambar) menafikan yang dirinya tidak berperanan dalam parti itu seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, perbincangan antara kepimpinan tertinggi itu masih melibatkan dirinya seperti biasa sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, malah tugas yang diberi kepadanya lebih berat berbanding pemimpin lain.
“Bila masa saya disejuk beku? Saya yang diberi banyak tugas sebegini pun masih ada lagi yang kata saya disejuk bekukah? Saya adalah Timbalan Presiden, saya juga masih Pengerusi Pengurusan Parti Bersatu, saya juga perlu menjaga Perak dan saya juga perlu menjaga Negeri Sembilan.
“Tugas saya lebih berat dari orang lain, Jadi di mana yang kata saya ini dibekukan?” soalnya ketika dihubungi, semalam.
Ahmad Faizal berkata demikian bagi menjawab soalan adakah beliau dibekukan daripada ahli-ahli Bersatu yang lain kerana ada yang berpendapat mereka tidak mengetahui akan ‘hala tuju’ Timbalan Presiden parti itu.
Dalam pada itu, beliau mahu menyerahkan tugasnya selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan kepada pemimpin lain yang lebih sesuai dan layak.
Beliau mengakui tidak mempunyai masa, selain faktor kewangan untuk terus memikul amanah yang diberikan kepadanya itu.
“Saya akan sebut di dalam mesyuarat PN malam ini (malam tadi) dan minta digantikan dengan orang yang lebih layak,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha dilaporkan berkata, selain tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, Pas Negeri Sembilan juga mendakwa Ahmad Faizal ‘tidak mengambil tahu’ lagi akan hal-hal parti.
Jelas Rafiei, beliau terpaksa mendedahkan mengenai keadaan PN itu kerana pelbagai masalah yang dihadapi mereka kini. – UTUSAN










