Covid-19 terkawal, tidak beban fasiliti kesihatan - Utusan Malaysia

Covid-19 terkawal, tidak beban fasiliti kesihatan

Covid-19 masih terkawal tetapi orang ramai digalakkan mermakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan kes Covid-19 yang direkodkan dalam tempoh seminggu bermula 19 hingga 25 November di negara ini terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menasihatkan golo­ngan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak mengambil langkah waspada terutama memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, golongan berisiko tinggi membabitkan kalangan warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas serta mempunyai penyakit.

“Pesakit yang menghidap penyakit kronik dan mempunyai daya tahan badan yang rendah lebih mudah dijangkiti Covid-19.

“Kumpulan ini kena berhanti-hati seperti selalu memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 3,626 kes Covid-19 dicatatkan dalam tempoh seminggu dari 19 hingga 25 November lalu, iaitu peningkatan 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang dilaporkan pada 12 November hingga 18 November lalu

Bagaimanapun, Lukanisman berkata, pihak Kementerian Ke­­sihatan sentiasa memantau perkembangan Covid-19 secara dekat dan buat masa ini wabak tersebut tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

“Walaupun terdapat pening­katan kes Covid-19, namun kesetakat ini masih terkawal.
“Sekiranya kes meningkat, Kementerian Kesihatan mempunyai tindakan berdasarkan pengalaman lepas,” katanya semasa dihubungi.

DOS PENGGALAK

Dalam pada itu, Lukanisman menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak sebagai langkah perlindungan tambahan.

Kata beliau, orang ramai perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan kesihatan awam termasuk sentiasa mencuci ta­ngan dan mengelakkan kawasan tumpuan.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Seduna (WHO) melaporkan berlaku peningkatan varian Omricon baharu BA.2.86 yang pertama kalinya dilaporkan pada 24 Julai 2023.

“Di Malaysia, sebanyak dua kes BA.2.86 dilaporkan ketika ini.
“Kes tersebut dikesan melalui aktiviti saringan gejala di bawah program survelan ILI/Covid-19 yang dijalankan di klinik kesihatan” ujarnya.

Dalam pada itu pesakit jantung dan kanser lebih berisiko untuk mendapat komplikasi sekiranya terkena jangkitan Covid-19 dan disaran untuk mengambil dos penggalak.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Epidemiologi dan Perun­ding Perubatan Kanan Kesihatan Awam, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sanjay Rampal berkata, risiko kemasukan ke hospital melibatkan pesakit kanser dan ibu mengandung antara yang tertinggi sekiranya mereka dijangki Covid-19.

“Golongan berisiko digalakkan mengambil dos penggalak bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk jika dijangkiti,” katanya.

MEMANTAU

Dr. Sanjay berkata, pihak kementerian kesihatan perlu sentiasa memantau kes-kes Co­vid-19 dan tidak ambil ringan dengan peningkatan semula wabak itu.

Dalam pada itu, pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sanggang, Temerloh, Pahang, Dr. Muhammad Aliff Md. Zaki berkata, penggunaan pelitup muka sangat digalakkan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Selain itu, masyarakat ju­ga digalakkan untuk sentiasa mela­kukan pemeriksaan kendiri atau di klinik kesihatan sekiranya terdapat gejala se­perti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas,” katanya.

Setakat ini terdapat lapan kluster Covid-19 yang masih aktif dilaporkan dengan sejumlah 121 kes terlibat dalam kluster tersebut.

Jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan adalah seba­nyak 7,248. Majoriti kluster yang dilaporkan adalah kluster pendidikan.

Katanya, kadar kemasukan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan meningkat kepada 2.9 peratus bagi setiap 100,000 penduduk, dengan pengisian katil unit rawatan rapi 0.4 pera­tus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN