SEREMBAN: Seorang wanita berusia 64 tahun ditinggalkan suaminya di dalam sebuah bilik kecil yang serba daif di atas sebuah rumah kedai di Senawang Jaya di sini setahun lalu.
Lebih memilukan, wanita yang mengalami masalah kesihatan itu dikatakan ditinggalkan di situ selepas suaminya berkahwin lain dan lelaki itu membawa pula isteri keduanya tinggal bersama di rumah mereka yang terletak di sebuah flat di kawasan berhampiran.
Kisah tersebut dimaklumkan oleh Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Rembau, Norwani Ahmat.
Beliau yang juga Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan berkata, kes tersebut sampai ke pengetahuannya selepas diberitahu oleh penduduk.
“Apabila suaminya berkahwin lain, dia ditinggalkan pula di dalam bilik kecil yang serba kekurangan di atas sebuah rumah kedai makan. Di situ terdapat kira-kira lapan buah bilik kecil yang lain.
“Saya diberitahu kadangkala, suaminya datang menjenguk dan menguruskan wanita itu namun apapun bagi saya di mana letaknya tanggunjawab seorang suami yang mengabaikan isteri dalam keadaan tersebut, isteri adalah amanah, jaga dan lindungilah sebaiknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Norwani berkata, beliau membawa perkara tersebut kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pegawai Agihan Senawang, Mohd. Suhaimi Mohd. Aziz memberitahu, pihak Baitulmal telah mengambil tindakan awal di atas kes berkenaan dengan akan mencari rumah sewa lebih selesa untuk wanita itu.
“Wanita itu mempunyai seorang anak lelaki berusia 23 tahun yang belum berkahwin dan bekerja di Port Dickson.
“Permasalahan di sini adalah mengenai tempat tinggal, pihak kami sudah meminta anak wanita itu untuk mencari rumah yang sesuai dan kami akan bantu untuk urusan kemasukan termasuk untuk bayaran deposit,” katanya. – UTUSAN










