PETALING JAYA: Pendedahan kepada pendidikan seks yang berkualiti sejak anak di awal usia selain keprihatinan dan kepekaan ibu bapa dapat bantu cegah jenayah seksual kanak-kanak.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, faktor utama peningkatan jenayah tersebut adalah sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab ke atas kebajikan anak-anak.
Katanya, ibu bapa perlu bersikap prihatin terhadap anak-anak dalam memberikan keadilan sewajarnya apabila mereka menjadi mangsa kepada jenayah ini.
“Sebarang aduan oleh anak sepatutnya diambil tindakan pantas oleh ibu bapa agar mereka rasa lebih dilindungi.
“Ibu bapa sekarang semua nak sembunyikan kebenaran bila anak-anak terlibat dalam isu sebegini sebab malu akan diketahui orang lain terutama apabila melibatkan ahli keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu akhbar ini ada melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bimbang dengan sikap masyarakat kini yang seolah-olah menganggap perlakuan jenayah terutamanya aktiviti seksual membabitkan kanak-kanak dan remaja sebagai ‘perkara biasa’.
Dalam pada itu, Pakar Pendidikan Awal Kanak Kanak, Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam menyalurkan pendidikan dan penapisan maklumat seperti video animasi yang perlu ditapis sebelum diserahkan kepada anak-anak.
Beliau berkata, sikap ibu bapa yang ambil mudah terutama dalam persekitran yang tidak selamat untuk kanak-kanak sekarang ini membuka peluang untuk jenayah terjadi.
Katanya, ibu bapa perlu memerhatikan serta peka dengan keadaan anak dan sentiasa berpada-pada dalam berkongsi maklumat terutama di media sosial.
“Saya pun tak faham ibu bapa sekarang ni. Buat konten untuk menunjuk-nunjuk sedangkan dia tak tau kesannya, sebab ibu bapa sendiri kadang-kadang mendedahkan benda itu kepada jenayah,” katanya. – UTUSAN










