KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mengikut kaedah latihan berbeza dengan menempatkan pelatih di kem tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah yang berkapisiti menampung 20,000 pelatih untuk latihan selama 45 hari.
“Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan acuan baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.
“Kita mahu supaya kali ini kerajaan tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberi pulangan baik kepada modal insan,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
PLKN sebelum ini dimansuhkan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan Menteri Belia dan Sukan ketika itu bertanggungjawab terhadap pemansuhannya.
Selain PLKN, turut dimansuh Biro Tata Negara (BTN) yang dianggapnya wujud unsur doktrin politik dalam program yang diadakan.
PLKN 1.0 diasaskan sejak 2004 dan ditambah baik dalam siri 2.0 pada 2016.
PLKN 2.0 dilaksana dalam dua fasa melibatkan Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) menggunakan lapan modul di 81 kem di seluruh negara dan latihan kemahiran tiga hingga 24 bulan di 400 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Mei lalu, Syed Saddiq Mei dilaporkan tidak menyesal memansuhkan PLKN, sebaliknya menegaskan, tiada keperluan menubuhkannya semula yang dilihat sebagai satu bentuk pembaziran wang dan alat politik. – UTUSAN










