PETALING JAYA: Peranan Roger Ng dalam syarikat Goldman Sachs Group Inc akan menjadi tumpuan siasatan selain mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan Roger semalam.
“Satu sidang akhbar akan diadakan berhubung perkara tersebut,” katanya di sini.
Sebelum ini, satu siasatan dijalankan pihak berkuasa negara ini pada 2018 terhadap beberapa pegawai Goldman Sachs.
Bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu telah disiasat kerana berperanan mengumpul dana melalui penawaran bon untuk 1MDB, berhubung rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan enam negara.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sebelum inimengesahkan kira-kira AS$4.5 billion (RM18.9 billion) telah disalahgunakan dari 1MDB, termasuk sejumlah wang yang dibantu oleh Goldman Sachs dari 2009 hingga 2014.
Utusan Malaysia semalam melaporkan PDRM akan mendahului siasatan terhadap Roger berkaitan 1MDB sebelum agensi penguatkuasa lain menyiasat sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Kepulangan Roger membolehkan Malaysia melakukan siasatan terhadap kes penyelewengan 1MDB selepas bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo menyerah diri Julai lalu dan aset RM93.2 juta miliknya disita.
Difahamkan, lebih 10 individu termasuk dalang utama ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang masih diburu oleh pihak berkuasa ketika ini.
Razarudin sebelum ini memberitahu, siasatan PDRM untuk mengesan dan mendapatkan kembali aset berkaitan 1MDB yang digelapkan oleh Roger.
Kata beliau, keterangan Roger diperlukan bagi memperincikan aset-aset itu yang dipercayai berada di dalam dan luar negara bagi melengkapkan siasatan.
Pada 7 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, beberapa agensi penguatkuasa Malaysia menunggu kepulangan Roger yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di AS untuk melengkapkan siasatan masing-masing membabitkan skandal 1MDB.
Antara agensi dijangka memerlukan maklumat atau menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bekas ketua pelaburan Goldman Sachs itu berkemungkinan turut diperlukan Suruhanjaya Sekuriti (SC)dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Terdahulu laporan di New York menyebut, Roger yang dikenakan hukuman penjara 10 tahun kerana membantu menggelapkan berbilion ringgit dana 1MDB akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan tuduhan di negara ini.
Ketua Hakim Daerah AS, Margo Brodie di Brooklyn mengarahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs itu menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguatkuasa undang-undang Malaysia.
Pendakwa dalam satu surat kepada Brodie berkata, Roger dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara.
Brodie menjatuhkan hukuman ke atas Roger Mac lalu, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah membantu bekas ketua Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan. – UTUSAN










