Pengundi muda Pelangai masih atas pagar, jadi king maker

Pengundi muda Pelangai masih atas pagar, jadi king maker

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bakal menjadi ‘medan perang undi’ orang muda kerana pilihan golongan itu boleh menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) termasuk calon Bebas.

Daripada 16,456 pemilih berdaftar, hampir 50 peratus iaitu 7,877 adalah pengundi muda berusia 18 hingga 40 tahun yang tentunya boleh menentukan pemenang di kerusi itu.

Di Pelangai, terdapat kira-kira 720 pengundi berusia antara 18 tahun hingga 20 tahun, 1,534 berusia antara 21 tahun hingga 25 tahun dan 5,623 pengundi usia antara 26 tahun hingga 40 tahun.

SEHARI

Berbaki sehari tempoh berkempen, sokongan anak muda Pela­ngai dilihat masih neutral sekali gus menyebabkan ramai berada di ‘atas pagar’ dan mengambil peluang menilai hingga saat akhir sebelum diterjemahkan di peti undi, Sabtu ini.

Seorang pemuda berusia 22 tahun yang dtemui Utusan Malaysia menyatakan dia belum memutuskan parti mana yang akan ‘dipangkahnya’ pada PRK Pelangai kali ini kerana masih meneliti siapa yang boleh menyelesaikan isu-isu yang baginya cukup penting, iaitu berhubung pembangunan dan ekonomi.

“Saya masih fikir hendak undi siapa. Tak pasti lagi bang… pening (untuk buat pilihan). Abang rasa mana okay?” ujar anak muda tersebut.

Justeru, dalam PRK kali ini jelas menunjukkan impak yang dibawa anak muda itu dan golongan seangkatannya di Pelangai belum dapat dibaca sama ada mereka akan pilih siapa serta keluar me­ngundi atau tidak.

Di Pelangai ini, BN dan PN masing-masing mempunyai pengundi tegar yang setia kepada parti terbabit, namun kuasa kemenangan dan kestabilan di sini terletak di tangan pengundi muda dan atas pagar.

Kini menjadi tugas berat buat BN dan PN bagi mendekati golo­ngan anak muda sekali gus mempengaruhi pilihan mereka pada 7 Oktober ini.

Anak muda Pelangai kini ibarat pepatah ‘air tenang jangan di­sangka tiada buaya’. Mereka boleh sahaja tiba-tiba keluar beramai-ramai dan menterjemah undi signifikan bagi menentukan wakil rakyat di Pelangai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN