Majlis Keselamatan berat sebelah

Majlis Keselamatan berat sebelah

SALAH sebuah masjid di Gaza yang musnah dan mengorbankan ratusan orang awam dalam serangan udara Israel di Palestin, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan negara lain yang bersolidariti terhadap perjuangan rakyat Pa­lestin perlu memberi sokongan kepada Rusia dan China dalam menyelesaikan krisis yang semakin memuncak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat berat se­belah selepas Amerika Syarikat (AS), Perancis dan United Kingdom (UK) begitu menyokong tindakan yang dilakukan oleh rejim Israel, manakala China dan Rusia pula sebaliknya.

Malah, beliau percaya, isu itu yang menyebabkan mengapa sidang Majlis Keselamatan yang diadakan secara tertutup kelmarin tidak mencapai kata sepakat sehingga tiada kenyataan bersama mampu dikeluarkan terhadap konflik yang semakin kritikal itu.

“Isunya adalah Majlis Kese­lamatan tidak dapat disandarkan untuk menyelesaikan masalah ini, jadi kalau kita (negara yang melihat Palestin sebagai negara bangsa) tidak boleh menyandarkan harapan kita kepada kepada AS, Perancis dan UK yang mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan, maka seharusnya kita menyandarkan harapan kepada Russia dan China.

“Apabila banyak negara memberi sokongan kepada Rusia dan China dalam hal Palestin ini, maka ia akan memberi tekanan kepada AS, Perancis dan UK supaya tidak lagi berat sebelah dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Azmi berkata, tidak dapat dinafikan Russia dan China berkemungkinan mempunyai agenda sendiri terutamanya selepas sering bertentangan dengan AS dan UK dalam masalah geopolitik yang lain.

Bagaimanapun, katanya, konflik di Asia Barat hanya dapat diselesaikan melalui diplomasi dan saluran yang ada hanya melalui Majlis Keselamatan.

“Jadi, strategi perlu untuk memberi harapan dan sokongan kepada Russia dan China.

“Walaupun kita tahu mereka mempunyai agenda lain, tapi tidak perlu dikisah asalkan isu ini dapat diselesaikan,” katanya.

Sehingga semalam lebih 400 penduduk Palestin termasuk bayi dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan tentera Israel di penempatan awam dekat Semenanjung Gaza dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN