Empat suspek geng samun pecah kedai di PD ditahan - Utusan Malaysia

Empat suspek geng samun pecah kedai di PD ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kegiatan sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun dan pecah kedai di sekitar daerah ini tumpas dengan penahanan empat suspek lelaki di sebuah apartmen di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan itu dibuat susulan maklumat orang awam yang diterima Kaunter Aduan Balai Polis Telok Kemang pada pukul 6.45 pagi, Ahad lalu mendakwa sebuah kedai runcit telah dipecah masuk dan seorang lelaki warga emas dilihat terbaring di hadapan kedai.

“Hasil risikan dan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) dan Balai Polis Telok Kemang telah menahan empat suspek lelaki pada pukul 9.45 malam keesokan harinya (Isnin) di sebuah apartmen di Telok Kemang di sini.

“Kesemua suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu berada bersama di dalam bilik apartment tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut di apartmen tersebut telah menjumpai pelbagai peralatan pecah kedai, barang-barang yang disyaki hasil pecah kedai dan samun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, rampasan turut melibatkan pakaian dan sebuah kenderaan yang digunakan untuk melakukan jenayah.

Jelas beliau, siasatan mendapati mangsa seorang lelaki berusia 63 tahun yang merupakan pemilik kedai runcit telah terdengar bunyi bising di bahagian luar kedai pada pukul 4.30 pagi hari kejadian, Ahad lalu dan apabila sedar dia mendapati terdapat dua suspek lelaki berada di hadapan kedainya.

“Suspek telah meminta wang daripada mangsa dan telah menolak mangsa sehingga jatuh akibat tidak memberikan wang. 

“Mangsa mengalami sedikit kecederaan di bahagian dahi. Kerugian melibatkan wang tunai anggaran lebih kurang RM800 dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya empat suspek tersebut, pihak polis telah berjaya menyelesaikan enam kes iaitu empat kes pecah kedai, satu kes samun dan satu kes curi dalam bangunan di sekitar Telok Kemang.

 “Selain itu, suspek juga dikehendaki bagi kes di daerah Seremban yang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Menurut Aidi Sham, suspek pertama mempunyai 20 rekod lampau, suspek kedua 19 rekod lampau, suspek ketiga 11 rekod lampau dan suspek keempat mempunyai satu rekod kes dadah. 

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah Methaphetamine.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Port Dickson untuk permohonan reman dan tahanan reman mereka telah diluluskan selama enam hari bermula semalam sehingga 22 Oktober depan untuk siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya