PETALING JAYA: Negara berisiko kehilangan pendapatan RM3.48 bilion cukai runcit industri vape jika Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok turut menyenaraikan vape sama seperti bahaya rokok.
Dalam Kajian Industri Vape Malaysia 2023 baru-baru ini, nilai runcit industri berkenaan berkembang mendadak sehingga 53 peratus iaitu daripada RM2.27 bilion pada 2019 kepada anggaran RM3.48 bilion pada tahun ini.
Sekali gus ia menunjukkan industri vape tempatan sudah mencapai tahap kematangannya dan berjaya mempunyai ekosistem yang kukuh sehingga mampu membuka laluan kepada kemasukan pelaburan asing.
Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, peraturan yang jelas dan adil akan membolehkan kerajaan memanfaatkan industri vape yang terdiri daripada usahawan dan tenaga kerja bumiputera.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan mengenakan hukuman sama terhadap produk vape dengan produk tembakau seperti rokok adalah sesuatu yang tidak adil kerana kedua-dua produk tersebut tidak sama terutama dari segi kemudaratan.
“Kita tahu rokok memberi kemudaratan kepada pengguna manakala vape adalah 95 peratus kurang memudaratkan berbanding rokok, vape merupakan alternatif untuk membantu perokok berhenti merokok. Apa yang kita perlukan ketika ini adalah peraturan yang menjadi garis panduan kepada penjual atau pengusaha.
“Dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang menyenaraikan Dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) juga telah secara salahnya mengkategorikan vape sama seperti rokok. Dua produk ini berbeza sama sekali dan tidak seharusnya disamakan.
VAPE
“Ia menyampaikan mesej yang salah kepada perokok yang ingin mencuba vape bagi berhenti merokok. Melaksanakan GEG itu sendiri sudah merupakan satu langkah yang terlalu drastik. Jika ditambah pula dengan hukuman berat terhadap penjual, ia tidak adil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat melaksanakan denda lebih ringan iaitu RM500 bagi kesalahan merokok berbanding RM5,000 yang dicadangkan peringkat awal.
Namun Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya masih membincangkan bersama Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan berhubung isu itu di Dewan Rakyat.
Kerajaan digesa mengenakan hukuman keras terhadap pihak menjual rokok atau vape kerana sebarang langkah mengurangkan hukuman didakwa akan memberikan isyarat salah terhadap matlamat melarang penjualan bahan tembakau kepada generasi muda.
Mengulas lanjut, Rizani berkata, mereka menjalankan kegiatan ekonomi yang sah dan tidak wajar dihukum.
“Buat masa ini, kita tiada peraturan industri yang boleh mengawal selia aktiviti jual beli vape. Dengan wujudnya satu garis panduan dan undang-undang, pengusaha boleh menjalankan perniagaan dengan peraturan yang ditetapkan dan dapat mengelakkan salah laku dan juga dapat menghalang penjualan produk kepada golongan bawah umur.
“Apa yang diperlukan industri adalah undang-undang dan peraturan, bukanya penalti yang berat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu adil dan mendengar keluhan pemain industri yang mata wang pencariannya bergantung pada industri tersebut.
“Apa yang perlu kerajaan pada kadar segera adalah mewujudkan satu peraturan dan garis panduan. Matlamat utama kerajaan adalah untuk menurunkan kadar merokok di negara ini dan kewujudan vape yang merupakan alternatif yang kurang memudaratkan dapat membantu kerajaan menurunkan kadar merokok.
“Dalam masa yang sama, undang-undang yang adil dan tidak membebankan juga dapat membantu pemain industri untuk kekal dalam kitaran ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN










