Memukat dalam gelap curi hasil laut

Memukat dalam gelap curi hasil laut

GAMBAR HIASAN-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Memukat pada waktu malam tanpa menghidupkan lampu bot adalah taktik terbaharu nelayan asing dalam mencuri hasil laut negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Saripudin Ishak berkata, selain itu, kumpulan nelayan itu juga didakwa menggunakan pukat tunda tanpa had.

Katanya, kaedah yang sama disyaki turut digunakan nelayan asing yang bekerja di atas bot milik pengusaha tempatan.

Beliau berkata, jika kerakusan nelayan asing itu tidak disekat dengan segera, golongan nelayan di negeri ini bimbang sumber perikanan akan pupus dalam tempoh terdekat.

“Nelayan asing sama ada yang menceroboh secara haram atau pekerja dalam bot tempatan bekerja tanpa mengira batas waktu.

“Dari segi peraturan, pukat tunda tidak boleh beroperasi pada waktu malam, namun pendekatan tidak menggunakan lampu menjayakan kegiatan mereka mengaut khazanah laut tanpa mengira saiz dan kematangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Saripudin, suatu ketika dahulu unjam nelayan tempatan turut musnah kesan memukat dengan kaedah yang diharamkan di perairan negara.

Katanya, tidak dapat dinafikan jumlah hasil ikan yang didaratkan kian merosot berpunca daripada berleluasanya pencerobohan bot besar yang rakus dan gagal dikesan.

“Apa ertinya berbelanja besar untuk menyediakan tukun tiruan sekiranya kerakusan nelayan asing gagal dibanteras. Manfaatnya gagal dinikmati nelayan tempatan,” katanya.

Katanya, pemantauan dan pengawasan terhadap nelayan asing yang menggunakan bot tempatan juga perlu ditingkatkan dari aspek teknikal dan kaedah yang tidak melanggar peraturan sedia ada.

“Mewakili warga nelayan, kami pohon pihak yang berkait mengambil tindakan segera dengan penuh integriti bagi mengekang pemcerobohan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan, Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman meminta warga nelayan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia amat memerlukan sokongan kerjasama nelayan tempatan untuk mengesan pencerobohan selain pelbagai op yang telah dilaksanakan di perairan Kelantan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN