JOHOR BAHRU: DAP tidak perlu memberikan sebarang maklum balas terhadap gesaan MCA supaya parti itu memberi penjelasan tentang konsep Malaysian Malaysia yang didakwa menyebabkan ketegangan antara kaum di negara ini.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebaliknya berkata, MCA seharusnya membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat kerajaan perpaduan dan bukannya secara kenyataan terbuka.
“Saya tidak mahu beri respons terhadap gesaan MCA. Kita dalam kerajaan perpaduan, jadi sekiranya ada apa-apa cadangan MCA boleh bawa perkara itu dalam mesyuarat kerajaan perpaduan,” katanya selepas melawat tapak pemasangan kemudahan Starlink di Dewan Kampung Orang Asli Sungai Temon, di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti DAP.
Semalam, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP untuk memberi penjelasan tentang konsep Malaysian Malaysia secara umum agar perkara itu tidak lagi menyumbang terhadap ketegangan kaum.
Beliau dilaporkan berkata, DAP juga perlu mengakui kesilapan mereka jika konsep Malaysian Malaysia tidak bertujuan parti itu mahu menghapuskan kuota Bumiputera.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta DAP menggugurkan tuntutan Malaysian Malaysia dan menggesa Pakatan Harapan (PH) menilai semula komitmen mereka termasuk menghapuskan sistem kuota Bumiputera.
Dalam pada itu, Chin Tong turut memberitahu, kempen PH dalam PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berjalan lancar memasuki minggu kedua, hari ini.
“Kerjasama jentera PH dan BN pada tahap terbaik ketika ini, perkara itu boleh disaksikan semasa calon-calon dibawa menyantuni pengundi dengan sokongan jentera kedua-dua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling turut memberitahu, pemasangan satelit Starlink akan membantu penduduk setempat untuk mendapat akses internet yang lebih baik.
“Dahulu tiada air, tiada elektrik di kampung ini tetapi sekarang sudah berubah, sudah ada. Begitu juga sekarang sudah ada internet lebih baik dengan Starlink. Kita harap dapat bawa perubahan dalam kehidupan mereka,” katanya. – UTUSAN










