SEREMBAN: “Sekarang ini sudah tidak macam dulu, tidak boleh melompat lagi. Kalau mahu ubah sokongan, seluruh parti kena keluar daripada kerajaan. Kalau seorang-seorang tidak boleh.”
Itu kata-kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai mengulas naratif pimpinan Perikatan Nasional (PN) bahawa kerajaan Pusat akan berubah jika PN menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) hujung minggu ini.
Kata Ahli Parlimen Rembau itu, kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak akan tergugat walau apa juga keputusan PRN di enam buah negeri pada Sabtu ini.
MAJORITI
Katanya, kerajaan Persekutuan pada hari ini ditubuhkan dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen iaitu sebanyak 148 kerusi.
“Kedudukan kerajaan juga semakin kukuh apabila Parlimen meluluskan Akta Anti Lompat Parti.
“Sekarang ini tidak boleh melompat lagi. Dalam Parlimen kalau ada undian, kita perhatian berapa kita dapat, siapa mengundi ataupun tidak.
“Jika didapati ada salah seorang daripada 148 orang ahli Parlimen Kerjaan Perpaduan tidak mengundi, kita tahu siapa, dia akan diambil tindakan dan SPR boleh ambil tindakan dan mengosongkan kerusi Parlimen.
“(Oleh itu) kerajaan Persekutuan tidak akan tergugat langsung walau apa juga keputusan PRN di enam buah negeri ini,” katanya yang juga calon BN di DUN Rantau dalam program Sesi Dialog Bersama Penduduk Kampung Bemban, Rantau di sini semalam.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berterusan menegaskan bahawa keputusan yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN di enam buah negeri akan membawa perubahan kepada kerajaan Pusat.
Justeru, beliau menggesa pengundi terutama orang Melayu keluar mengundi bagi membolehkan PN menang di enam buah negeri terbabit.
“Apa yang menyedihkan kita, masih ramai tidak keluar mengundi, tidak mahu mengundi, tak sedar mengundi ini adalah kuasa politik, kalau tidak mengundi bermakna kita hilangkan kuasa politik kita,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Bandar Sri Sendayan di sini malam semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai naratif akan berlaku perubahan di peringkat kerajaan Pusat sekiranya PN menang pada PRN kali ini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu, ada proses undang-undang yang membolehkan perkara itu berlaku.
“Macam-macam cara, walaupun negara kita ada anti lompat parti tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan, begitu juga dengan kerajaan negeri yang lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan pembangkang agar tidak terus bermimpi mahu menukar kerajaan Pusat sebaliknya fokus menjadi pembangkang baik untuk bersama-sama membangun negara.
“Pembangkang seharusnya lebih faham proses perundangan negara terutama sekatan melalui Akta Anti Lompat Parti yang diperkenalkan sebelum ini.
“Kenyataan Ahmad Faizal Azumu bahawa kerajaan Pusat boleh bertukar sekiranya PN menang dalam PRN kali ini menunjukkan dia tidak faham proses perundangan negara.
“Cukup-cukuplah tu (dengan rancangan mahu menukar kepimpinan di peringkat Pusat),’’ katanya. – UTUSAN










