Nik Abduh ‘berpuasa’, rehat daripada politik

Nik Abduh ‘berpuasa’, rehat daripada politik

NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengambil keputusan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membuat kejutan apabila mengumumkan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik.

Nik Abduh menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh rehat beliau itu.

Bagaimanapun katanya, ia adalah tempoh paling sukar buat diri beliau dan bondanya.

“Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya.

Difahamkan, Nik Abduh mengambil keputusan itu selepas namanya tidak tercalon untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya negeri (PRN).

Sebelum ini terdapat ura-ura bekas Ahli Parlimen Bachok itu akan bertanding di kerusi DUN Chempaka yang merupakan kawasan yang pernah ditandingi bekas Mursyidul Am Pas yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum itu Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Hashim Jasin mengesahkan Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura, sekali gus layak menjadi calon parti itu dalam PRN.
Bagaimanapun, nama Nik Abduh tercicir apabila tidak tersenarai pada PRN.

Pada pengisytiharan calon PRN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini, Pas turut membuat kejutan selepas mengugurkan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Fathan Mahmood dan menggantikan dengan muka baharu Nik Asma Baharum Nik Abdullah yang juga seorang peguam.

Utusan Malaysia kemudian melaporkan, Nik Abduh mendedahkan permintaannya untuk bertanding di salah satu daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Pengkalan Chepa pada PRN juga ditolak.

Keadaan menjadi lebih panas apabila Nik Din Nik Mat mendakwa Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah merupakan individu yang menyebabkan nama Nik Abduh tercicir sebagai calon wakil rakyat walaupun dakwaan itu dinafikan.

Nik Din yang juga adik kepada Nik Aziz berkata, sebelum itu dia bertemu dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 23 Jun lalu di Rusila, Terengganu dan Presiden Pas itu memberi jaminan Nik Abduh akan diangkat sebagai calon.

Menurutnya, dia hairan selepas mendapati anak saudaranya itu tidak dicalonkan di kerusi DUN Chempaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×