PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang menyaksikan pertembungan dua blok besar gabungan parti politik menunjukkan Malaysia sedang beralih kepada sistem dua parti seperti amalan di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, evolusi sistem dua parti wujud secara tersendiri apabila parti-parti kecil bergabung dengan parti lebih besar yang mempunyai ideologi sama.
Katanya, bergabung itu merupakan cara terbaik selepas parti-parti kecil sebelum ini tidak melihat mereka mempunyai peluang untuk bertanding sendirian melawan parti yang lebih mantap selain kaedah itu menjimatkan perbelanjaan pilihan raya.
“Maka, lahir Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan (PH) dan sekarang ini PH dengan Barisan Nasional (BN) pula. BN pun begitu juga sebelum ini, (gabungan) 13 parti dan sekarang tinggal empat apabila berpecah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Begitu juga sekarang, siapa sangka akhirnya PH bekerjasama dengan BN menjadi satu pakatan yang besar manakala PN pula terdiri daripada gabungan Pas, Parti Bersatu serta Gerakan.
“Jadi Malaysia kini ada dua gagasan politik yang besar iaitu PH-BN dan PN. Seperti mana berlaku sekarang adalah sistem dua parti, cuma tidak secara rasmi.
“PN sudah jelas merupakan gabungan politik dan PH-BN pula jelas bekerjasama di bawah politik untuk menghadapi PRN, walaupun belum sampai tahap gabung, tetapi kerjasama antara PH-BN merupakan satu gagasan politik baru.
“Maka hakikatnya (PRN) ini pertandingan dua gagasan besar politik. Walaupun bukan dipanggil sistem, tetapi saingan antara dua blok besar sama seperti sistem dua parti,” katanya ketika dihubungi di sini.
PRN di enam negeri kelmarin menyaksikan pertembungan antara PH-BN dan PN di sebahagian besar 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 180 DUN menyaksikan pertandingan satu lawan satu, tiga penjuru (51 kerusi) dan empat penjuru (13 DUN), lima penjuru (1 kerusi).
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, sistem dua parti memberi banyak kebaikan berbanding sistem pelbagai parti dalam pilihan raya.
“Sebabnya, apabila dua parti besar bertanding, maka rakyat lebih mudah dan jelas membuat pilihan sama ada mahu pilih A atau B, jadi tidak ada kekeliruan di pihak pengundi.
“Malah, ini memberi kebaikan kepada proses demokrasi di negara kita dan memberi banyak keselesaan kepada rakyat untuk menilai kumpulan gagasan yang mana yang akan mereka pilih dalam PRN.
“Bayangkan kalau enam atau tujuh parti politik yang bertanding, setiap parti tentu ada penyokong. Jadi terlalu banyak undi berpecah. Sedangkan, perpecahan undi tidak bawa kebaikan kepada proses demokrasi kerana memerlukan sebuah kerajaan mendapat undi popular yang besar.
“Apabila undi popular besar, ia mencerminkan pilihan rakyat yang agak jelas,” katanya.
Beliau berkata, apabila mana-mana pihak menang PRN, maka mereka tidak akan ‘bercakaran’ dalam menubuh kerajaan sebagai gagasan politik besar.
Oleh itu, katanya, ia tidak akan menimbulkan situasi di mana terpaksa mencari rakan politik lain untuk menubuhkan kerajaan disebabkan kerusi yang tidak mencukupi.
“Bercakaran sesama politik berkurangan sebab mereka masuk pilihan raya dengan satu tujuan sama untuk mendapat sebanyak undi bagi menubuhkan kerajaan,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, apa yang diamalkan negara adalah dua gabungan besar yang sedang bergerak ke arah gabungan bertanggungjawab daripada gabungan mengikut keselesaan.
“Memandangkan gabungan ini masih baharu dan cuba mencari ideologi sama, ia mungkin memakan masa untuk bergerak ke arah sistem dua parti dengan dua aliran fahaman politik. Ini memerlukan komitmen jelas supaya tiada gabungan besar, tetapi adalah berdasarkan kepada ideologi politik.
“Selagi parti politik masih berasaskan kaum atau agama, ia akan memakan masa apatah lagi negara kita adalah negara yang rencam etnik,” jelas beliau. – UTUSAN










